Pada 31 Oktober 2023 (Selasa), Perpustakaan Raja Zarith Sofiah (PRZS) berbesar hati menerima kunjungan lawatan daripada Universitas Negeri Malang. Kehadiran mereka ke UTM adalah dengan sinergi bersama CSNano UTM. Delegasi lawatan terdiri daripada pensyarah dan mahasiswa dari universiti tersebut. Puan Nur Nazurah Nordin dan Cik Tuan Syahirah Tuan Abdul Rahman telah mengiringi lawatan delegasi ini untuk mengenali dengan lebih dekat perkhidmatan dan prasarana yang disediakan di Perpustakaan UTM.

Sepanjang sesi lawatan, delegasi didedahkan dengan maklumat berkaitan perkhidmatan yang ditawarkan di Perpustakaan UTM, khususnya PRZS. Ruang khusus turut diterangkan fungsinya oleh pustakawan yang mengiringi pelawat. Pelawat juga dapat melihat lokasi yang menempatkan buku-buku di ruangan akses layanan terbuka di aras 4 menjadi tumpuan mahasiswa untuk merujuk, mengulangkaji dan menyiapkan tugasan.

Delegasi turut tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke Galeri Raja Zarith Sofiah yang menempatkan kesemua bahan bacaan yang telah disumbangkan oleh Canselor UTM iaitu Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah yang juga merupakan Permaisuri Johor. Mereka juga turut dibawa ke Bilik Tokoh Penyelidik dan didedahkan mengenai kewujudan Virtual Gallery UTM yang boleh diakses secara dalam talian. 

Selain dari itu, mereka turut didedahkan dengan tatacara perkhidmatan di kaunter di mana mereka diberikan penerangan tentang kaedah peminjaman bahan di kaunter dan juga menggunakan Sistem Pinjaman Layan Diri (SPLD). 

Semoga pendedahan dan penerangan yang disampaikan oleh pustakawan sepanjang lawatan kali ini dapat memberi manfaat dan pengalaman yang berharga kepada para delegasi.

Share this :