Pada 24 hingga 26 Oktober 2023, telah berlangsung sebuah program iaitu Weeks of Welcome yang diadakan di kedua-dua bangunan Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM) iaitu Perpustakaan Sultanah Zanariah, Johor Bahru dan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah. Program yang amat menyeronokkan ini bermatlamat untuk mengalu-alukan kehadiran mahasiswa baru bagi sesi 2023/2024. Di samping meraikan mahasiswa baru, JPUTM turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik bersifat informatif.

Mahasiswa dihendaki mengaktifkan akaun perpustakaan mereka terlebih dahulu sebelum menyertai aktiviti yang dianjurkan. Hal ini dapat memudahkan sebarang urusan perkhidmatan yang diperlukan oleh mahasiswa di perpustakaan kelak. Setelah itu, mereka boleh menyertai program ini dengan bermain beberapa aktiviti seperti How to Find Me, Memorize Me, Challenge Me, Guess Me, Shelve It dan Do’s & Don’ts. Kesemua aktiviti ini adalah berkaitan dengan perkhidmatan yang disediakan di perpustakaan.

Manakala di Bangunan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah aktiviti permainan seperti kuiz atas talian (Kahoot), pertanyaan betul atau salah, susun buku di rak, teka gambar fasiliti perpustakaan, kuiz teka silang kata dan yang paling menarik adalah permainan bonus. 

Permainan bonus ini memerlukan mahasiswa untuk mencari buku di rak dan pencarian bahan di atas talian menggunakan Online Public Access Catalog (OCEAN). Mahasiswa juga perlu meminjam buku di mesin Buku Pemulangan Layan Diri (SPLD) bagi menyelesaikan permainan bonus ini. Secara tidak langsung, mahasiswa baharu dapat memahami bagaimana cara yang efektif dalam mencari bahan bercetak di dalam perpustakaan dan merasai pengalaman proses peminjaman dan pemulangan. 

Melalui aktiviti yang dilaksanakan, pelajar diberikan pendedahan kepada pelbagai aspek berkenaan perpustakaan seperti pengenalan kepada perkhidmatan dan fasiliti, peraturan asas menggunakan perpustakaan, teknik pencarian maklumat berkesan dan bimbingan kaedah mengakses pelbagai koleksi perpustakaan secara tepat. Selain itu, pelajar juga diberi bimbingan secara bersemuka tentang penggunaan mesin peminjaman dan pemulangan layan diri, pembaharuan peminjaman dan tempahan bahan rujukan secara dalam talian, permohonan Inter Library Loan dan semakan akaun perpustakaan.

Program yang berlangsung selama tiga (3) hari ini, mendapat penyertaan yang menggalakkan dari warga UTM dan maklum balas yang sangat baik dari pengguna sama ada pengguna baru atau sedia ada. Sebagai token penghargaan, JPUTM menyediakan pelbagai cenderahati kepada pengunjung yang menyertai program ini. Semoga usaha ini dapat diteruskan lagi pada masa-masa yang akan datang.

Share this :