Pada 30 November 2023 (Khamis), Perpustakaan Sultanah Zanariah (PSZ) telah berbesar hati menerima kunjungan pelajar dari SMK Tan Sri Abdul Kadir yang terdiri daripada 38 orang pelapjar yang terdiri daripada pengawas sekolah, pembantu pusat sumber sekolah dan pembimbing rakan sebaya. Mereka turut diiringi seramai empat (4) orang guru. Lawatan ini telah berlangsung dari jam 10.00 pagi sehingga 12.00 tengah hari dan dikendalikan oleh Puan Nur Nazurah Nordin dan Encik Akmal Alif Amran.

Sesi perkongsian dimulakan dengan penerangan ringkas mengenai Perpustakaan UTM. Sesi ini berakhir dengan sesi soal jawab diantara pelajar dan juga pegawai bertugas. Setelah itu, para pelawat telah dibawa melawat ke ruangan utama bangunan PSZ dari aras dua sehingga ke aras empat. Para pelawat tidak melepaskan peluang untuk melawat ke Galerium Perpustakaan UTM yang menempatkan artifak-artifak milik UTM sedari awal penubuhannya dan juga fakulti-fakulti lain seperti mesin taip, kamera proses, projektor dan komputer yang digunakan oleh staf di perpustakaan satu ketika dahulu. Encik Faiz, selaku wakil dari Unit Galeri telah mengendalikan sesi lawatan di Galerium dan menerangkan serba sedikit mengenai sejarah penggunaan artifak-artifak tersebut.

Para pelajar begitu teruja melihat suasana di Perpustakaan Sultanah Zanariah yang kondusif untuk para pelajarnya. Banyak soalan yang diajukan sewaktu lawatan berlangsung melibatkan perkhidmatan dan fasiliti yang perpustakaan sediakan. Pustakawan bertugas turut berkongsi pengalaman dan pengetahuan tentang koleksi perpustakaan dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada para pengguna perpustakaan. Peserta lawatan turut diberikan penerangan berkaitan perkhidmatan, kemudahan serta prasarana yang disediakan oleh Perpustakaan UTM kepada para penggunanya. Peserta lawatan turut dapat menyaksikan gelagat mahasiswa dan mahasiswi yang sedang tekun menyiapkan tugasan dan berdiskusi di ruangan terbuka aras 3 bangunan PSZ. Hal ini sedikit sebanyak dapat memberi gambaran awal kepada para pelajar mengenai apa yang menanti mereka di universiti dan bagaimana menjalani kehidupan sebagai seorang mahasiswa.

Semoga lawatan ini dapat memberi manfaat dan motivasi kepada para pelajar SMK Tan Sri Abdul Kadir agar lebih bersemangat untuk menuntut ilmu hingga ke menara gading serta dapat mengharumkan nama sekolah.

Share this :