Pengguna merupakan salah satu (1) aset penting sebagai pelanggan di dalam mana-mana penubuhan perpustakaan. Maklum balas daripada pengguna juga penting dalam memberikan input-input dapat mencorakkan hala tuju perpustakaan itu sendiri. Bagi mendapatkan maklumat yang demikian, kaji selidik kepuasan pelanggan (CSI) perlu dijalankan bagi mengukur tahap keberkesanan penyampaian perkhidmatan yang disediakan. Oleh yang demikian, Perpustakaan UTM telah menjalankan kaji selidik kepada pengguna dari tahun 2016 sehingga kini.

Setelah hampir enam (6) tahun menjalankan kaji selidik kepada pengguna, pelaksanaan bagi tahun 2023 adalah berbeza dari tahun sebelumnya di mana Jabatan Pendaftar UTM telah memperkenalkan format penilaian terkini dalam menjalankan kaji selidik mengikut keperluan pelaporan di peringkat Universiti. Pelaksanaan kaji selidik tersebut perlu dibuat dua (2) kali setahun iaitu fasa pertama dari Januari hingga Jun dan fasa kedua dari Julai hingga November. Fokus utama masih lagi sama iaitu untuk mengukur tahap perkhidmatan yang ditawarkan oleh setiap fakulti dan pusat tanggungjawab (PTJ) di UTM dengan penambahan beberapa elemen di dalam penjanaan soalan.

Apa yang menarik di dalam pelaksanaan ini adalah Jabatan Pendaftar telah memperkenalkan satu indikator baharu iaitu enam (6) pengukuran dimensi mengikut perkhidmatan teras. Enam (6) dimensi tersebut adalah Tempoh Masa Tindakan, Layanan Kepada Pelanggan, Kesungguhan Membantu, Tatacara Keperluan Pelanggan, Memberikan Sumber Maklumat Yang Tepat dan Persekitaran Kondusif.

Maklumat berikut adalah format baharu kaji selidik yang diperkenalkan:
BAHAGIAN A: DEMOGRAFI
BAHAGIAN B: PENGUKURAN DIMENSI MENGIKUT PERKHIDMATAN TERAS
BAHAGIAN C: PENILAIAN SISTEM SOKONGAN ICT
BAHAGIAN D: ULASAN UMUM (Penghargaan/Penambahbaikan/Cadangan)

Perpustakaan UTM juga telah menjalankan kaji selidik yang dinamakan sebagai UTM Library Customer Satisfaction Index 2023. Penyediaan soalan bagi tujuan pengisian kaji selidik oleh pengguna telah dilakukan secara dalam talian secara total bagi tujuan penjimatan sumber. Kaedah promosi bagi menyebarluas kaji selidik yang dijalankan adalah melalui emel, hantaran di sosial media Perpustakaan UTM, penyediaan poster secara fizikal serta poster digital di dalam bangunan Perpustakaan UTM dan pendekatan secara terus kepada pengguna.

Hasil daripada kaji selidik yang dijalankan mendapati, responden yang menjawab lebih bersikap terbuka untuk berkongsi pendapat dan cadangan. Ini secara langsung menjadi nilai tambah kepada pihak pengurusan Perpustakaan UTM dalam memperhebatkan lagi perkhidmatan sedia ada dan mewujudkan perkhidmatan baru mengikut keperluan semasa. Justeru, urusetia kaji selidik Perpustakaan UTM ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada para pengguna yang sudi meluangkan masa; menjadi salah seorang responden yang telah berjaya menjawab keseluruhan soalan yang disediakan.

Share this :