Program Read & Relax anjuran Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM) memulakan siri yang pertama bagi tahun 2024 dengan barisan panel pengulas dan moderator yang terdiri daripada pelajar latihan industri Universiti Teknologi Mara cawangan Negeri Sembilan kampus Rembau bagi sesi September 2023 – Januari 2024. Panel pengulas pertama yang telah dijemput ialah Cik Dewi Nur Zulaikha binti Abd Rahim dan panel pengulas kedua ialah Puan Rabiatul Adawiyah binti Isamudin. Manakala moderator bagi sesi ini ialah Cik Nurhanis Maisarah binti Abdul Mutalib. Siri pertama ini diadakan pada 18 Januari 2024 secara dalam talian dan disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook dan Youtube JPUTM.
Pengulas pertama iaitu Cik Dewi Nur Zulaikha binti Abd Rahim memilih buku bertajuk Dalam Sedihmu Berbaik Sangkalah Kepada Allah hasil nukilan Andromeda Nisa. Buku ini bergenre motivasi di mana ia mengajak pembacanya untuk menukar cara berfikir dan bertindak dalam mengharungi liku-liku kehidupan yang penuh dengan ujian dan dugaan dengan cara menyuburkan sikap berbaik sangka kepada Tuhan. Ia bukanlah suatu perkara yang mudah untuk dilakukan namun, dengan bimbingan yang disampaikan oleh penulis, para pembaca pasti boleh mengambil sedikit sebanyak panduan daripada isi kandungan buku ini dalam usaha untuk menyuburkan sikap tersebut. Menurut pengulas, penulis menyatakan bahawa apabila kita sentiasa bersikap tenang dan berusaha untuk berbaik sangka dengan ketetapan Allah SWT, di penghujung ujian dan cubaan pasti ada sinar kebahagiaan yang menanti.
Panel pengulas kedua iaitu Puan Rabiatul Adawiyah binti Isamudin pula telah memilih buku bertajuk Diari Hamil yang merupakan hasil tulisan Khairun Nisa’ Zakaria, Muhd. Mawardi Zakaria dan Khulwana Hanapi. Buku ini merupakan panduan lengkap yang meliputi pelbagai aspek bagi para ibu yang bakal melahirkan cahaya mata. Sementelah pula, pengulas sendiri sedang berbadan dua dan semestinya buku ini amat dekat di hati pengulas sebagai medium untuk mempersiapkan diri bagi menyambut kelahiran yang bakal tiba.
Buku ini menyediakan beberapa muka surat yang berkonsepkan checklist atau catatan bagi para ibu mencatat perkara penting serta info dari pihak klinik sebagai ingatan dan rujukan semula sekiranya perlu. Maklumat yang disampaikan di dalam buku ini bersifat ringkas, namun padat di mana penulis menggunakan kaedah point dalam menyampaikan isi kandungannya. Hal ini lebih memudahkan para ibu untuk memahami isi yang cuba disampaikan.