Pada 20 Januari 2024 (Sabtu), Perpustakaan Raja Zarith Sofiah (PRZS) telah menerima kunjungan lawatan daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Johor Bharu (SMKAJ) yang terdiri daripada 40 orang pelajar dan dua (2) guru pengiring. Mereka turut diiringi oleh mahasiswa Fakulti Alam Bina dan Ukur sebagai Koordinator lawatan mereka di UTM. Lawatan ke perpustakaan ini telah dikendalikan oleh Puan Nazurah Binti Nordin, Pustakawan, Seksyen Perkhidmatan dan dibantu oleh Cik Tuan Syahirah Binti Tuan Abdul Rahman Penolong Pustakawan, Seksyen Pengurusan Koleksi.
Sesi lawatan ini bermula pada jam 8.40 pagi, para pelajar SMKAJ telah diterangkan serba ringkas tentang perkhidmatan yang disediakan di PRZS seperti waktu perkhidmatan, koleksi bahan–bahan yang terdapat di perpustakaan dan juga fasiliti Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM) untuk kemudahan para pengguna. Para pelajar telah dibahagikan kepada dua (2) kumpulan untuk sesi lawatan di setiap aras.
Sepanjang lawatan, pelajar SMKAJ telah dibawa melawat ke beberapa Galeri Perpustakaan UTM yang terdapat di bangunan PRZS antaranya Galeri Raja Zarith Sofiah, Galeri Koleksi Khazanah Intelektual Johor dan Sudut Bacaan Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor. Para pelajar juga berpeluang untuk melawat ruang koleksi tesis di aras 3, PRZS yang menghimpunkan tesis-tesis baharu dan terkini yang dihasilkan oleh para mahasiswa UTM. Para pelajar dilihat begitu teruja untuk menghasilkan senaskhah tesis, diharapkan agar pengkongsian ini dapat menyuntik semangat mereka untuk menyambung pengajian mereka ke menara gading kelak.
Pihak JPUTM amat berbesar hati menerima lawatan sambil belajar daripada pihak SMKAJ. Semoga lawatan ini dapat memberi ilmu, manfaat dan gambaran awal kepada pelajar mengenai kehidupan mahasiswa di kampus universiti kelak.