Keselamatan bangunan adalah aspek penting dalam memastikan kesejahteraan semua penghuni dan pelawat terpelihara. Atas sebab itu, taklimat keselamatan bangunan Perpustakaan UTM bagi tahun 2004 telah diadakan dengan tujuan untuk memberi pengetahuan dan meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan kesedaran staf Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM) mengenai langkah-langkah yang perlu diambil bagi memastikan tempat kerja adalah selamat. Di samping itu, taklimat ini juga menyediakan panduan tentang tindakan yang harus diambil semasa kecemasan seperti kebakaran, gempa bumi, atau ancaman keselamatan lain.

Diadakan pada 29 Februari 2024 (Isnin), taklimat ini melibatkan tiga (3) fasilitator dan 21 staf perpustakaan. Ia dimulakan dengan sesi pengenalan kepada keselamatan bangunan JPUTM, sebelum diteruskan dengan sesi simulasi pengunaan peralatan kecemasan dan seterusnya lawatan ke keseluruhan bangunan. Sesi lawatan ini melibatkan dua (2) bangunan utama JPUTM Johor Bahru iaitu Perpustakaan Sultanah Zanariah dan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah.

Taklimat keselamatan bangunan Perpustakaan UTM ini mempunyai beberapa objektif utama. Pertama, ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran keselamatan dalam kalangan staf perpustakaan. Kesedaran ini penting kerana ia membantu individu mengenal pasti bahaya yang mungkin wujud di persekitaran mereka dan bagaimana untuk menghindarinya. Kedua, taklimat ini memberikan panduan terperinci mengenai prosedur yang perlu diikuti semasa kecemasan. Hal ini termasuklah cara-cara untuk menggunakan peralatan keselamatan seperti alat pemadam api, serta langkah-langkah evakuasi bangunan.

Selain itu, taklimat keselamatan juga menggalakkan latihan dan simulasi secara berkala. Latihan ini memastikan semua individu tahu bagaimana untuk bertindak dengan cepat dan tepat semasa kecemasan. Akhir sekali, taklimat keselamatan memastikan semua penghuni mematuhi peraturan keselamatan dan kesihatan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Pematuhan ini adalah penting untuk mengurangkan risiko kemalangan dan memastikan keselamatan semua pihak yang terlibat.

Taklimat keselamatan bangunan JPUTM adalah langkah proaktif yang penting untuk memastikan tempat kerja yang selamat dan sihat. Melalui taklimat ini, kesedaran dan pemahaman mengenai langkah-langkah keselamatan dapat ditingkatkan. Latihan dan simulasi yang dilakukan secara berkala juga memastikan semua staf tahu bagaimana untuk bertindak semasa kecemasan. Dengan adanya komitmen dan kerjasama daripada semua pihak, keselamatan di tempat kerja dapat dipertingkatkan, seterusnya melindungi kesejahteraan semua penghuni dan pelawat.

Share this :