Program Ijtihad Pustaka merupakan sebuah program anjuran Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (JPUTM) sinergi bersama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS). Ia telah berlangsung pada hari Rabu, 13 Mac 2024 pada jam 11.00 pagi secara dalam talian melalui sosial media rasmi Facebook dan Youtube Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia, serta Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka. Panel jemputan bagi program kali ini ialah Dr. Mohammad Naqib bin Hamdan, Pensyarah Kanan, Akademi Tamadun Islam, Universiti Teknologi Malaysia dan moderator adalah Encik Syafiq bin Zulakifli, Pensyarah, Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim.
Bagi sesi kali ini panel jemputan telah membicarakan buku berjudul Boikot Menurut Islam yang dikarang oleh Encik Anas Mohd Yunus. Sebagai pengenalan, panel menyatakan buku ini membahas tentang konsep boikot dari sudut pandangan Islam dengan memahami konsep boikot, tujuan melakukan boikot, kaedah boikot yang berkesan serta impaknya. Menurut pandangan Islam, boikot merupakan salah satu cara untuk mencegah kejahatan dan melindungi hak-hak manusia.
Selain itu, beliau menekankan isu boikot bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh kerana terdapat syarat-syarat yang harus dipenuhi sebelum melakukan boikot. Antaranya ialah mengenal pasti isu atau masalah yang dihadapi, menyenaraikan tindakan yang dapat memperbaiki masalah dan pertimbangan kesan boikot terhadap pihak yang diboikot dan masyarakat. Kaedah dan kesan boikot juga dikongsikan oleh panel agar ianya dijalankan dengan penuh beretika dan beradab.
Semoga dengan perkongsian ini dapat memberikan pemahaman yang lebih komprehensif kepada kita semua tentang bagaimana boikot disisi Islam, termasuk pemahaman mengenai tujuan, kaedah, dan kesan-kesannya. Dengan pemahaman yang lebih mendalam tentang konsep ini, diharapkan ianya dapat menjadikan nilai-nilai keadilan, kemasyarakatan, serta perlindungan hak-hak individu sebagai landasan dalam bertindak membangunkan masyarakat yang lebih adil dan bermoral.