23 April 2024, Selasa – Pembacaan merupakan aspek penting dalam pembangunan masyarakat yang berpengetahuan dan harmoni. Memahami kepentingan inilah, Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (JPUTM) sinergi bersama Bangsa Johor Bahagia (BJB) Kangkar Pulai, Pengurusan Perbadanan Kenari, dan Friends of UTM Library (FOLY) telah menganjurkan sambutan program “Jom Baca Bersama 10 Minit”.

Ianya telah dibawakan secara langsung dari Perpustakaan Kontena, Pangsapuri Kenari, Bandar Baru Kangkar Pulai. Ia merupakan salah satu (1) inisiatif yang bertujuan memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat sambil mempromosikan nilai-nilai perpaduan dan kesepaduan. Dengan tema “Pembacaan Melestarikan Perpaduan”, sambutan ini menekankan peranan penting pembacaan dalam memperkukuhkan perpaduan dan kesepaduan dalam masyarakat. Selain itu, ia juga merupakan platform bagi masyarakat setempat untuk bersama-sama menghargai kepelbagaian budaya dan kekayaan ilmu melalui amalan membaca yang aktif.

Sesi Jom Baca Bersama 10 Minit diadakan secara serentak di seluruh Malaysia bermula tepat pada jam 11.00 pagi. Peluang ini digunakan sebaiknya dengan membaca bersama-sama dengan masyarakat sekitar Perpustakaan Kontena, Pangsapuri Kenari.

Sambutan ini diteruskan dengan Sesi Read & Relax edisi Khas yang menampilkan panel istimewa iaitu Puan Junaidah Sa’aban, Ahli Jawatankuasa, BJB Kangkar Pulai, Perbadanan Pengurusan Kenari dan Phavanee Katriya Phon-Amnuaisuk, Pelajar Sarjana, Fakulti Komputeran yang juga Bendahari, FOLY. Manakala moderator bagi sesi kali ini ialah Puan Nor Aishah P. Mosar, Pustakawan Kanan, JPUTM.

Acara kemuncak bagi program ini ialah simbolik penyerahan set komputer dan sistem KOHA Perpustakaan Kontena kepada Encik Jamaludin Hamid, Timbalan Pengerusi, BJB Kangkar Pulai, Pangsapuri Kenari, Bandar Baru Kangkar Pulai yang disampaikan oleh Puan Khairulbahiyah Yaakub, Timbalan Ketua Pustakawan (Perkhidmatan), JPUTM. Inisiatif ini merupakan salah satu (1) program khidmat masyarakat JPUTM yang seterusnya akan melibatkan sukarelawan UTM untuk menginput data bahan bacaan Perpustakaan Kontena yang akan bermula pada bulan Jun 2024.

Tidak ketinggalan sesi Jom Baca Bersama 10 Minit turut disemarakkan di sekitar universiti. Seramai 100 pensyarah, penyelidik, staf dan pelajar telah meluangkan masa selama 10 minit untuk membaca bersama-sama di Fakulti Komputeran, Fakulti Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan Tenaga, Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Pengurusan. 20 orang staf Perpustakaan Fakulti turut bersama-sama menyemarakkan sambutan ini di Perpustakaan Fakulti Alam Bina, UTM Johor Bahru.



Manakala sejumlah 50 staf perpustakaan membawa buku kegemaran masing dan membaca bersama-sama di Ruang Lestari, Aras 3, Bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah dan juga di Lobi sehingga Ruang Koleksi Khazanah Intelektual Johor, Aras 1, Perpustakaan Raja Zarith Sofiah.

Sambutan Program Jom Baca Bersama 10 Minit ini dimeriahkan lagi dengan pertandingan Momen Jom Baca Bersama 10 Minit. Para pemenang akan membawa pulang hadiah menarik dan seramai lima (5) pemenang bertuah akan dipilih. Warga universiti dialu-alukan untuk berkongsi detik bermakna ini di Facebook pada 23 April 2024, sebelum jam 5.00 petang dengan tanda pagar berikut:
#UTMread
#UTMmembaca
#MalaysiaMembaca
#PembacaanMelestarikanPerpaduan
#bacasamasama #jombacabersama10minitJPUTM
#bangsamembacabangsaberjaya


Semoga program ini memberi manfaat dalam memperkaya ilmu pengetahuan, memperkukuhkan jalinan sosial serta merapatkan jurang perbezaan dalam masyarakat. Kerjasama dan jaringan yang lebih meluas lagi juga dapat memberi dorongan kepada usaha-usaha seterusnya dalam memperkukuhkan budaya membaca dan perpaduan dalam masyarakat.

Share this :