27 April 2024, Sabtu – Perpustakaan Sultanah Zanariah (PSZ) telah berbesar hati menerima kunjungan lawatan oleh peserta program Empowering Dreams: Nurturing Tomorrow’s Leaders anjuran Institution of Engineers Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia Student Section (IEM-UTM SS). Lawatan ini berfokus kepada koleksi artifak yang ditempatkan di Galerium UTM. Seramai 53 orang peserta menyertai lawatan ini dan merupakan anak-anak yatim daripada Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh dan Pusat Jagaan Anak Yatim Amitabha. Lawatan ini berjalan pada jam 2.15 petang dan berakhir pada 3.00 petang. Petugas lawatan bagi sesi ini ialah Puan Norsyuhada Shafie dan Encik Mohd Faezan Abd Jalil.

Taklimat ringkas berkaitan Galerium UTM telah disampaikan oleh petugas lawatan. Para peserta turut dibawa ke aras 2 melalui Tangga Ilmu yang juga dikenali sebagai “Walking Gallery”. Di samping itu, peserta lawatan turut diberikan penerangan berkaitan perkhidmatan serta kemudahan yang disediakan oleh Perpustakaan UTM kepada para penggunanya dan mereka sangat teruja merasai persekitaran pembelajaran di UTM yang turut menempatkan pelajar antarabangsa dari pelbagai negara.

Di Galerium UTM yang terletak di aras 2, para pelawat dapat menyaksikan koleksi artifak UTM yang dipelihara dengan baik di galeri ini. Mereka tidak melepaskan peluang mendengar penerangan mengenai artifak-artifak tersebut yang semestinya asing di mata mereka namun memiliki sejarah yang unik. Melalui lawatan ini, para pelawat dapat belajar untuk menghargai nilai-nilai sejarah yang terdapat di galeri ini sekaligus mengetahui bahawa UTM telah menempuhi zaman yang panjang dalam menyediakan peluang pendidikan tinggi kepada anak bangsa, khususnya rakyat Malaysia.

Semoga lawatan ini memberi manfaat dari segi ilmu pengetahuan dan juga inspirasi untuk mempertingkatkan daya usaha masing-masing dalam bidang akademik sekaligus dapat melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi kelak.

Share this :
UTM Open Day