9 Jun 2024, Ahad – Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM) berbesar hati menerima undangan sebagai rakan strategik Sekolah Pengajian Siswazah UTM bagi penganjuran program khidmat masyarakat Rural Unity & Mentoring for Orang Asli Heritage 2024 (RUMAH “24) di Kampung Orang Asli Simpang Arang, Gelang Patah, Johor selama dua hari iaitu dari 7 Jun hingga 8 Jun 2024. Pelbagai aktiviti menarik telah disusun dan dirancang oleh pihak urus setia dengan melibatkan beberapa rakan strategik seperti Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Jabatan Kemajuan Orang Asli, Service-Learning Malaysia-University for Society (SULAM), Pusat Kesihatan Universiti, Yayasan Ikram Negeri Johor, Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd., Jabatan Pendaftaran Negara dan Kafe Aturan bagi menyantuni masyarakat orang asli di kampung tersebut.


Slot aktiviti yang dikendalikan oleh JPUTM adalah pada hari kedua pada jam 10.30 pagi iaitu aktiviti Read Out Loud di mana ia dikendalikan oleh lima (5) orang sukarelawan JPUTM dengan penglibatan seramai 50 orang anak-anak orang Asli. Sambutan aktiviti ini amat mengalakkan di mana anak-anak yang hadir sangat teruja dan mereka memberi fokus sepenuhnya selain sentiasa memberi maklumbalas kepada soalan yang diajukan dan menjadikan aktiviti ini bertambah meriah. Sebanyak 10 set cenderamata telah disediakan sebagai tanda penghargaan kepada anak-anak yang menyertai kuiz sepanjang aktiviti ini dijalankan.


Di samping itu, pihak perpustakaan juga telah menyerahkan sumbangan sebanyak 200 naskhah buku bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang bersesuaian dengan pelajar sekolah rendah dan menengah kepada Ketua Kampung Orang Asli Simpang Arang. Semoga dengan sumbangan buku-buku tersebut dapat membantu meningkatkan ilmu pengetahuan dan menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat orang asli.

Pihak JPUTM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kepada semua pihak yang menjayakan program ini dan juga di atas jemputan sebagai pengendali program. Diharapkan agar kerjasama seperti ini dapat diteruskan lagi di masa akan datang sebagai inisiatif UTM dalam menyantuni masyarakat di luar sana dengan program-program yang menarik dan memberi impak yang positif kepada masyarakat.

Share this :