Pada 18 Julai 2024 (Khamis), Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM) telah menganjurkan Program Read & Relax Siri 13/2024 yang disiarkan secara atas talian pada jam 11.00 pagi sehingga jam 12.00 tengah hari melalui platform Facebook dan Youtube Perpustakaan UTM. Panel pengulas pada kali ini adalah terdiri daripada staf Menara Optometris Cawangan Taman Universiti, Skudai iaitu Puan Mardhiah Syazwani Binti Nasir dan Cik Nur Hanim Binti Hasnizan. Moderator bagi siri Read & Relax kali ini adalah Encik Mohamad Admin Bin Sadali dari Perpustakaan UTM.
Pengulas pertama, Puan Mardhiah Syazwani Binti Nasir berkongsi buku yang bertajuk 100 Persoalan Mengenai Mata & Katarak oleh Azhany Yaakub. Buku ini menjawab persoalan-persoalan mengenai katarak (selaput mata) dengan gaya bahasa yang ringkas dan mudah difahami. 100 Persoalan Mengenai Mata dan Katarak ialah sebuah buku yang berkisar tentang sejenis masalah penglihatan yang utama di negara ini, iaitu katarak. Masalah katarak boleh dikatakan berpotensi dialami oleh semua orang, terutamanya pada usia emas. Buku ini diolah dalam bentuk 100 soal jawab yang mudah difahami, padat dan ringkas.
Manakala panel pengulas kedua, Cik Nur Hanim Binti Hasnizan memilih sebuah buku yang bertajuk Peliharalah Matamu: Ke Arah Mata yang Sihat oleh Prof. Dr. Muhaya Mohamad. Penulis menyatakan mata adalah salah satu anugerah yang cukup istimewa daripada Allah S.W.T. kepada umat manusia. Nikmat sepasang mata berupa penglihatan, adalah sesuatu yang tidak dapat diukur nilai dengan harta dan wang. Beliau menerangkan bahawa bola mata mempunyai pelbagai fungsi di mana ia dilengkapi dengan jutaan sel yang bukan sahaja membantu mempermudahkan segala urusan kehidupan kita, malah membolehkan kita menjalani kehidupan seharian tanpa sebarang masalah di mana hampir semua urusan kehidupan kita memerlukan mata untuk melihat. Oleh itu, wajarlah untuk memastikan kesihatan mata di tahap yang baik dan menjaga amanah ini sebaiknya.