Pada 29 Ogos 2024 (Khamis), Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM) telah menganjurkan Program Read & Relax yang berlangsung dari jam 11.00 pagi hingga 12.00 tengah hari secara atas talian melalui platform Facebook dan YouTube Perpustakaan UTM. Panel pengulas jemputan pada sesi kali ini adalah Cik Hazirah binti Hashim, Pegawai Psikologi Kanan dan Encik Rizashsyam bin Shohadi, Pegawai Psikologi Kanan, dari Pusat Kaunseling UTM. Manakala moderator bagi sesi ini ialah, Encik Salihuddin bin Bakhri, Pembantu Pustakawan dari Jabatan Perpustakaan UTM.


Panel pertama, Cik Hazirah Binti Hashim telah berkongsi buku bertajuk The Art of Waiting karya Ezzah Mahmud. Menurut pengulas, setiap individu pasti pernah melalui proses menunggu dalam kehidupan sehariannya. Penulis buku ini tidak menafikan bahawa penantian boleh menjadi satu penyiksaan, tetapi beliau telah menerangkan cara-cara mengatasi perasaan tersebut melalui beberapa tips yang telah disampaikan di dalam buku ini. Selain itu, penulis turut berkongsi kaedah menjadikan proses menunggu itu sebagai sesuatu yang menarik dan bermakna, supaya setiap penantian itu tidak dianggap sia-sia kerana setiap sesuatu itu ada iktibarnya yang boleh kita ambil dan dijadikan pedoman di dalam hidup.


Panel pengulas kedua iaitu En. Rizashsyam Bin Shohadi pula telah memilih buku Joy on Demand: The Art of Discovering Happiness Within yang ditulis oleh Chade-Meng Tan. Menurut beliau, buku ini sangat menarik untuk dibaca dan sesuai dengan realiti masyarakat masakini, terutamanya ketika ramai yang menghadapi masalah tekanan dan kesukaran mencari kebahagiaan dalam diri. Penulis buku ini membincangkan tentang betapa mudahnya untuk mencapai rasa ketenangan dan kegembiraan di dalam hati tanpa perlu melibatkan elemen-elemen sukar seperti meditasi mahupun meninggalkan segala kepentingan dunia.

Sebaliknya, buku ini memberi tumpuan kepada kaedah yang mudah tetapi sangat berkuasa, menunjukkan bahawa rasa kegembiraan dicapai hanya dengan satu nafas sahaja. Melalui kegembiraan, kita dapat mencapai ketenangan jiwa. Penulis juga menekankan teknik pernafasan yang betul untuk membantu mengawal tekanan dan emosi.

Share this :