Pada 12 November 2024 (Selasa), Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM) telah mengadakan program Town Hall Pelaporan Pencapaian Suku Tahun Kedua dan Ketiga (Q2 & Q3/2024). Program yang berlangsung secara dalam talian melalui platform Cisco Webex Meeting ini bermula pada jam 9.30 pagi dan bertujuan untuk memperincikan kemajuan pelaksanaan Pelan Tindakan 2024 di bawah inisiatif enVision UTM 2025.


Majlis dimulakan dengan kata aluan oleh pengacara majlis serta bacaan doa, diikuti ucapan pembukaan oleh Ketua Pustakawan yang menekankan pentingnya pelaksanaan inisiatif strategik jabatan. Selepas itu, Penggerak enVision UTM 2025, iaitu Puan Zaleha Atan, Timbalan Ketua Pustakawan (AM), menyampaikan penerangan mengenai pencapaian keseluruhan yang telah dicapai sepanjang suku kedua dan ketiga tahun 2024, terutamanya dalam aspek Key High Impact Result (KHIR), High Impact Result (HIR) dan Key Amal Indikator (KAI).


Program diteruskan dengan sesi penerangan yang lebih mendalam mengenai pencapaian setiap bahagian, termasuk Bahagian Perancangan dan Pembangunan, Bahagian Ilmu Pengetahuan Institusi, Bahagian Automasi dan Multimedia, serta Bahagian Perkhidmatan. Setiap bahagian ini melaporkan kemajuan pencapaian dalam menyediakan sumber perpustakaan berorientasikan pelajar dan infrastruktur yang bersedia untuk masa hadapan, dengan beberapa rancangan seperti platform cadangan sumber pembelajaran digital serta penyatuan pengetahuan institusi yang disokong oleh teknologi digital dan arkib.


Majlis ini berakhir pada pukul 12.30 tengah hari dengan ucapan penutup oleh pengacara, diikuti sesi bergambar secara dalam talian dan ucapan penghargaan kepada semua peserta yang terlibat. Program ini secara keseluruhannya mencerminkan usaha berterusan JPUTM untuk mencapai sasaran Pelan Tindakan enVision UTM 2025.

Share this :