4 Disember 2024, Rabu – Perpustakaan UTM Kuala Lumpur (PSZKL) telah berbesar hati menerima kunjungan lawatan daripada delegasi luar negara yang terdiri daripada pelajar-pelajar cemerlang SMA Negeri 2 Cibinong Kabupaten Bogor, Jawa Barat pada jam 11.30 pagi.

Delegasi yang terdiri daripada 14 orang pelajar bersama seorang guru pengiring ini telah disambut dengan penuh mesra oleh staf perpustakaan yang bertanggungjawab untuk memastikan kelancaran lawatan ini. Mereka turut diberi penjelasan dan penerangan yang jelas dan terperinci mengenai fungsi serta peranan perpustakaan dalam menyokong proses pembelajaran dan penyelidikan di Universiti Teknologi Malaysia khususnya di Kuala Lumpur. Encik Zaidi Othman selaku Pustakawan bertugas telah menyampaikan taklimat ringkas dengan memperkenalkan pelbagai perkhidmatan perpustakaan kepada para pelawat.

Lawatan yang diadakan ini melibatkan beberapa ruang dan fasiliti utama di PSZKL, di antaranya ialah Ruang Bacaan yang selesa, Ruang Buku yang lengkap dengan pelbagai koleksi bahan bacaan dan rujukan akademik, Ruang Galeri yang mempamerkan hasil karya seni serta informasi penting dan juga Unit Sirkulasi yang merupakan perkhidmatan paling utama dalam memberikan layanan kepada pengguna untuk proses peminjaman dan pemulangan bahan serta membantu pengguna dalam hal berkaitan perkhidmatan perpustakaan seperti Interlibrary Loan, bayaran dendaan, serta pertanyaan rujukan untuk penyelidikan dan sebagainya.

Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada delegasi dari SMA Negeri 2 Cibinong atas kesudian mereka untuk meluangkan masa mengunjungi PSZKL. Kami berharap agar informasi yang diperoleh dan pengalaman yang dikongsi sepanjang lawatan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam proses pembelajaran mereka. Semoga lawatan ini juga dapat mengeratkan hubungan antara kedua belah pihak dan membuka peluang sinergi yang lebih lanjut pada masa akan datang.

 

 

 

 

Share this :