Pada 2 Disember 2024 (Isnin), Perpustakaan UTM Kuala Lumpur (PSZKL) berbesar hati menerima kunjungan lawatan daripada delegasi Universitas PGRI Semarang (UPGRIS), Indonesia. Delegasi yang terdiri daripada 23 orang pelajar dan seorang pensyarah pengiring ini disambut mesra oleh staf perpustakaan yang telah ditugaskan untuk memastikan kelancaran lawatan tersebut. Delegasi lawatan tiba pada jam 11.00 pagi dan lawatan berlangsung di dua (2) lokasi utama perpustakaan, iaitu Ruang Bacaan dan Ruang Galeri, PSZKL.
Kunjungan ini adalah sebahagian daripada usaha mengeratkan hubungan antara institusi pendidikan dan dalam masa yang sama memberi peluang kepada pelajar dari UPGRIS untuk melihat serta belajar dari pengalaman akademik yang ditawarkan di UTM KL.
Puan Nurrull Huda Abd Wahid selaku Pustakawan bertugas telah menyampaikan taklimat ringkas kepada para pelawat mengenai peranan perpustakaan dan perkhidmatan yang disediakan kepada para mahasiswa dan juga penyelidik di UTM khususnya. Perkhidmatan yang disediakan perpustakaan merangkumi peminjaman bahan, pinjaman antara perpustakaan, ruang belajar peribadi dan berkumpulan dan lain-lain.
Seterusnya, Encik Mohd Yusri Osman, Puan Aznurul Ain Abdul Shukor, dan Puan Norfamieza Binti Mohamed Fayli mengiringi para pelawat ke Ruang Bacaan di mana mereka diberi demonstrasi mengenai proses peminjaman buku di Sistem Pinjaman Layan Diri (SPLD). Demonstrasi ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para pelawat mengenai teknologi yang digunapakai oleh perpustakaan dalam memendekkan masa perkhidmatan di mana pengguna boleh meminjam secara layan diri berbanding beratur di kaunter seperti dahulu.
Sesi lawatan diteruskan dengan penerangan oleh Encik Mohd Azalan Mohd Lazim, mengenai pameran yang diadakan di Ruang Galeri. Beliau membawa para pelawat untuk meneroka galeri, di mana mereka dapat melihat pelbagai koleksi bahan yang dipamerkan serta mendapatkan maklumat lanjut tentang kepentingan galeri sebagai ruang pembelajaran dan penyebaran ilmu di PSZKL.
Kunjungan lawatan diakhiri dengan pemberian cenderahati oleh PSZKL kepada wakil delegasi lawatan. Semoga dengan lawatan ini hubungan antara dua institusi dapat dipererat.