12 Disember 2024, Khamis – Telah diadakan Persidangan Pengurusan Strategik Jabatan Perpustakaan UTM 2025-2030 yang berlangsung selama dua (2) hari bermula dari 8.30 pagi hingga 5.00 petang yang diadakan di Bilik Seminar 1 & 2, Bangunan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah (PRZS), UTM Johor Bahru yang melibatkan Ketua Pustakawan, Timbalan Pustakawan, Timbalan Penolong Pendaftar, Pustakawan, Pegawai IT dan wakil dari bendahari. Program ini diadakan secara hibrid di mana pustakawan-pustakawan dari Perpustakaan UTM Kuala Lumpur (PSZKL) telah mengikuti program ini secara dalam talian menggunakan aplikasi Webex. Persidangan ini telah dihadiri oleh semua Pustakawan, Jabatan Perpustakaan UTM.
Program ini dimulakan dengan ucapan aluan dan sedikit perkongsian dari Puan Nor Asikin binti Mohamad, Ketua Pustakawan UTM yang bertajuk Aspirasi Strategik Jabatan Perpustakaan UTM 2025-2030. Sesi seterusnya dibentangkan oleh Puan Zaleha binti Atan, Timbalan Ketua Pustakawan Bahagian Automasi & Multimedia (BAM), merangkap penggerak enVision UTM 2025, Jabatan Perpustakaan UTM yang membuat perkongsian mengenai Perancangan Pelan Tindakan Strategik: enVision UTM 2025 Pelan Tindakan 2025 Jabatan Perpustakaan UTM.
Kemuncaknya, sesi perbincangan strategik mengikut kumpulan yang telah dibahagikan mengikut bahagian masing-masing di JPUTM. Setiap kumpulan telah ditetapkan seorang fasilitator, seorang rapporteur dan seorang pembentang bagi membincangkan berkenaan dengan pelan tindakan tahun 2025-2030 untuk setiap bahagian selaras dengan Aspirasi Strategik Jabatan Perpustakaan UTM 2025-2030. Seramai 55 orang Pustakawan telah menyertai persidangan ini. Program ini telah diakhiri dengan sesi pembentangan oleh kesemua wakil kumpulan dan seterusnya disusuli dengan sesi soal jawab.
Semoga dengan adanya persidangan seperti ini dapat membina jati diri dan melahirkan Pustakawan yang sentiasa berinovasi, komited dan konsisten dalam memberikan perkhidmatan berprestasi tinggi kepada warga UTM dan masyarakat.