17 Disember 2024, Selasa – Syarikat Flextronics Technology (Penang) Sdn. Bhd. telah mengadakan kunjungan lawatan ke Perpustakaan UTMKL (PSZKL) pada 16 Disember 2024 (Isnin) dengan jumlah pelawat seramai 24 orang yang terdiri daripada pelajar separuh masa dan diiringi oleh dua (2) orang pengiring. Lawatan ini telah dikendalikan oleh Puan Syarasyima Salleh selaku wakil dari PSZKL.
Sesi lawatan ini memberi peluang kepada para pelawat untuk merasai suasana pembelajaran di kampus UTMKL di samping memperoleh pengetahuan mengenai perkhidmatan yang disediakan perpustakaan kepada pengguna. Selain itu, mereka juga diberi pendedahan mengenai akses kepada sumber-sumber ilmiah yang boleh digunakan bagi menyokong keperluan pembelajaran dan juga penyelidikan.
Di samping itu, pihak Samudera Management Consultants Sdn. Bhd. (SMC) turut menggunakan bilik seminar perpustakaan yang telah ditempah untuk sesi perbincangan dan aktiviti berkumpulan bersama para pelawat ini.
Semoga lawatan ini memberikan impak positif kepada para peserta dengan meningkatkan tahap kesedaran mereka mengenai kepentingan perpustakaan sebagai sumber rujukan ilmu dan memupuk budaya pembelajaran yang positif.