Sinergi Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Jabatan Agama Islam Johor (JAINJ) telah berjaya menganjurkan Program Read & Relax Siri 19/2024 pada 10 Oktober 2024 (Khamis) yang disiarkan secara dalam talian melalui Facebook dan Youtube Perpustakaan UTM. Panel pengulas terdiri daripada Ustaz Mohamad Mufid Bin Jamaludin, Penolong Pengarah Kanan Unit Latihan dan Pembangunan Kerjaya dan Ustaz Noor Syahreer Bin Hadi Munir, Penolong Pengarah Unit Hal Ehwal Murid. Manakala moderator ialah Ustaz Mohd Fuad Bin Hisham, Penolong Pengarah Unit Ko-Kurikulum JAINJ.
Pengulas pertama, En Noor Syahreer Bin Hadi Munir memilih buku bertajuk “Nabi Muhammad SAW dalam Konteks Kekeluargaan” terbitan Ilham Books. Buku ini adalah mengenai sejarah kehidupan Rasulullah SAW dalam lingkungan keluarga, menyoroti bagaimana baginda menjalankan peranan sebagai seorang suami, ayah, datuk, dan anggota keluarga dengan penuh kasih sayang, hikmah, dan tanggungjawab. Melalui pelbagai kisah dari kehidupan harian baginda, buku ini mendedahkan pendekatan Nabi Muhammad SAW dalam membina rumah tangga yang harmoni, adil, dan bahagia.
Buku ini tidak hanya meneliti peranan Rasulullah SAW dalam keluarganya, tetapi juga bagaimana nilai-nilai yang diterapkan baginda boleh dijadikan panduan dalam kehidupan manusia secara umum. Keharmonian dan kebahagiaan dalam keluarga yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW merupakan asas kepada pembentukan masyarakat yang kuat dan berdaya saing. Nilai-nilai kekeluargaan seperti empati, komunikasi baik, dan tanggungjawab bersama yang dihidupkan oleh baginda berperanan besar dalam membentuk perhubungan manusia yang lebih harmoni.
Pengulas Kedua, Ustaz Mohamad Mufid Bin Jamaludin memilih buku bertajuk “Nabi Muhammad SAW dalam Konteks Kemasyarakatan” yang membincangkan bagaimana Rasulullah SAW memainkan peranannya sebagai pemimpin sosial yang unggul dan reformis dalam masyarakat. Buku ini memberi tumpuan kepada cara baginda mengurus dan menangani isu-isu kemasyarakatan, seperti keadilan sosial, hak asasi manusia, hubungan antara kaum, dan penyebaran nilai-nilai kemanusiaan sejagat.
Penulis buku ini meneliti contoh-contoh dari kehidupan Nabi Muhammad SAW yang relevan dengan cabaran masyarakat moden. Rasulullah SAW bukan sahaja seorang utusan Tuhan, tetapi juga seorang pemimpin yang memperjuangkan keadilan, kesejahteraan masyarakat, dan kesetaraan hak. Baginda menekankan perpaduan, saling menghormati, serta tolak ansur antara pelbagai lapisan masyarakat, dan sentiasa mengutamakan kepentingan komuniti dalam semua tindakan dan keputusan baginda.
Semoga kisah tauladan junjungan besar umat Islam, Nabi Muhammad SAW menjadi tauladan dan panduan dalam menjalankan kehidupan sehari-harian serta menyelesaikan satu-satu kekusutan dengan hikmah dan penuh sabar.