18 Februari 2025, Selasa – Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (JPUTM) menerima kunjungan daripada Pejabat Jurutulis Dewan Negeri Johor dalam rangka program lawatan penanda aras. Lawatan ini bertujuan memperkukuh hubungan antara institusi di samping berkongsi amalan terbaik dalam pengurusan perpustakaan, khususnya dalam aspek pemeliharaan dan penjilidan dokumen. Delegasi pelawat yang terdiri 21 orang, tiba di JPUTM, Bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah pada jam 8.50 pagi.
Sesi lawatan bermula pada jam 9.00 pagi dengan ucapan aluan daripada Puan Haslina binti Nasir, Timbalan Ketua Pustakawan (Perancangan & Pembangunan) JPUTM dan diikuti dengan tayangan video korporat bagi memperkenalkan fungsi dan peranan Jabatan Perpustakaan UTM. Sesi kemudian diteruskan dengan perkongsian proses kerja penjilidan dokumen oleh Puan Muzaimah binti Mohd Yunus, Pustakawan Kanan, Unit Pemeliharaan & Pemuliharaan.
Lawatan ini turut dimeriahkan dengan sesi bergambar dan pertukaran cenderahati antara kedua-dua institusi. Seterusnya, para pelawat dibawa melawat ke Unit Pemeliharaan & Pemuliharaan, Seksyen Pembangunan Sumber & Katalog untuk mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai operasi unit tersebut. Mereka turut diberikan penerangan tentang proses penjilidan dokumen oleh staf JPUTM serta berpeluang mencuba sendiri kaedah menjilid di JPUTM.
Lawatan berakhir sekitar jam 12.30 tengah hari dengan kedua-dua institusi merancang untuk menjalinkan kerjasama lebih mendalam melalui program attachment pada masa akan datang. Inisiatif ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan dua hala, malah membuka peluang kepada perkongsian ilmu dan memperkayakan pengalaman dalam bidang pengurusan dokumen serta perpustakaan.