Johor Bahru, 19 Mac – Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), YBrs. Prof. Dr. Mohd Shafry bin Mohd Rahim telah mengadakan kunjungan rasmi ke bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah (PSZ), UTM Johor Bahru bagi meninjau kemudahan serta perkembangan terkini perkhidmatan perpustakaan. Lawatan ini susulan daripada Sesi Perjumpaan Naib Canselor bersama Pegawai Tertinggi Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (JPUTM) yang berlangsung pada sebelah pagi di Pejabat Naib Canselor, UTM Johor Bahru.
Lawatan bermula pada jam 1.30 petang, di mana Naib Canselor dibawa melawat beberapa bahagian utama perpustakaan, termasuk Galerium UTM dan ruang baharu Bilik 24 Jam. Selain itu, beliau turut mengunjungi Bilik Seminar 1 yang menempatkan peralatan khas bagi membangunkan koleksi Braille untuk pelajar kurang upaya (penglihatan), khususnya dari Sekolah Kebangsaan Princess Elizabeth, Johor Bahru. Dalam sesi ini, beliau diperkenalkan kepada proses transliterasi bahan serta teknik emboss bahan Braille menggunakan mesin cetakan khas yang diperoleh melalui peruntukan dana Endowmen UTM. Sebanyak 100 naskhah bahan Braille yang telah siap dicetak turut dipamerkan.
Lawatan ini memberi peluang kepada pihak pengurusan universiti untuk memahami dengan lebih mendalam mengenai inisiatif strategik yang dilaksanakan Jabatan Perpustakaan UTM bagi memastikan fungsi perpustakaan kekal relevan, inovatif, dan mampu menyokong keperluan pembelajaran serta penyelidikan di UTM. Antara fokus utama perbincangan termasuklah transformasi digital, peningkatan akses kepada sumber ilmiah, serta penyediaan ruang pembelajaran yang lebih kondusif dan interaktif. Langkah-langkah ini sejajar dengan visi universiti dalam memperkukuh ekosistem akademik yang dinamik serta menyokong budaya penyelidikan berkualiti tinggi.
Turut hadir dalam lawatan ini ialah barisan pengurusan Jabatan Perpustakaan UTM yang berkongsi perkembangan terkini berkaitan kemudahan perpustakaan, penggunaan teknologi baru dalam pengurusan sumber maklumat, serta inisiatif kerjasama dengan pihak industri dan akademik.
Dengan kunjungan ini, diharapkan Perpustakaan UTM terus berkembang sejajar dengan visi dan misi UTM sebagai pusat kecemerlangan ilmu yang memenuhi keperluan komuniti akademik dan menyumbang kepada kejayaan UTM dalam arena pendidikan tinggi.