Perpustakaan Raja Zarith Sofea (PRZS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh peranannya sebagai pusat rujukan ilmu apabila menerima lawatan penanda aras daripada delegasi Kepimpinan Alumni Pahang LEAD pada 4 April 2026 (Sabtu).
Lawatan yang berlangsung dari jam 9.30 pagi hingga 10.30 pagi ini melibatkan seramai 81 orang pelajar bersama lima (5) orang pegawai pengiring. Ketibaan delegasi telah disambut oleh Staf Perpustakaan yang terdiri daripada Cik Aida Nadhirah binti Rodzuan, Puan Siti Anniza binti Aznan dan Cik Yasmin Ellysha binti Khairulnizam, yang turut mengiringi sepanjang program berlangsung.


Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai amalan terbaik dalam pengurusan perpustakaan akademik serta peranan perpustakaan sebagai pemangkin kecemerlangan ilmu dan pembangunan kepimpinan.
Sepanjang sesi lawatan, para peserta telah diberikan taklimat ringkas berkaitan fungsi, perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan di PRZS. Taklimat ini memberikan gambaran menyeluruh tentang peranan perpustakaan dalam menyokong keperluan pembelajaran, pengajaran dan penyelidikan di universiti.
Delegasi turut dibawa meninjau beberapa lokasi utama perpustakaan, antaranya Kaunter Sirkulasi, Khazanah Intelektual Johor, Galeri Zarith Sofea serta koleksi buku di aras utama. Lawatan ini memberi peluang kepada peserta untuk merasai sendiri persekitaran pembelajaran yang kondusif dan berteknologi tinggi.

Penganjuran lawatan penanda aras seperti ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara institusi, malah berperanan dalam menyemai budaya ilmu, meningkatkan daya kepimpinan serta memperluas perspektif peserta terhadap kepentingan perpustakaan dalam ekosistem pendidikan tinggi.
Pihak PRZS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesudian delegasi Kepimpinan Alumni Pahang LEAD mengadakan lawatan, dan berharap jalinan kerjasama ini akan terus diperkasakan pada masa hadapan.