Delegasi Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengadakan satu lawatan penandaarasan ke fasiliti Makerspace di Temasek Polytechnic dan Singapore Polytechnic Library pada 16 Januari 2026. Lawatan yang disertai oleh UTMXCITE, Jabatan Perpustakaan, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) dan Pejabat Naib Canselor ini bertujuan untuk mendapatkan pendedahan secara langsung terhadap amalan terbaik dalam pengurusan makerspace, integrasi kemudahan fabrikasi digital, serta perluasan jaringan kerjasama industri bagi menyokong ekosistem inovasi dan pembangunan UTM Launchpad.

Delegasi dari Perpustakaan UTM ini diketuai oleh Ketua Pustakawan UTM, Puan Khairulbahiyah binti Yaakub. Turut serta dalam siri lawatan penting ini ialah barisan pengurusan perpustakaan iaitu Mohd Fuad Mohamed Yusof, Timbalan Ketua Pustakawan (Automasi dan Multimedia),  En. Yusrul Hisham Mohd Yusof, Ketua Seksyen Automasi dan Puan Zurina binti Rosmani, Ketua Seksyen Multimedia.

Sepanjang lawatan tersebut, delegasi telah diberi peluang meninjau pelbagai kemudahan canggih yang disediakan di Makerspace kedua-dua institusi berkenaan. Antara fasiliti yang dilawati termasuklah peralatan pencetakan 3D, mesin fabrikasi digital, serta ruang kolaborasi yang direka khusus untuk menyokong pembangunan idea pelajar daripada peringkat konsep sehinggalah ke penghasilan prototaip dan komersialisasi.

Di samping itu, delegasi turut mengadakan sesi perkongsian bersama pihak pengurusan Makerspace di sana bagi membincangkan pendekatan pengoperasian dan model tadbir urus yang efektif. Sesi ini turut menyentuh strategi penglibatan pelajar dan industri dalam pelbagai aktiviti inovasi, sekali gus memberikan perspektif dan idea baharu kepada pengurusan Perpustakaan UTM dalam merancang pembangunan makerspace yang lebih berimpak tinggi di universiti.

Dalam lawatan berkenaan juga, delegasi dari Perpustakaan UTM telah mengambil kesempatan melawat Perpustakaan di Temasek Polytechnic. Ianya memberikan pelbagai pendedahan berguna melalui sesi lawatan ringkas yang dijalankan.

Hasil dapatan daripada lawatan penandaarasan ini disifatkan amat signifikan dalam memperkukuh pelan pembangunan UTM Launchpad, di samping membantu usaha Universiti untuk menaik taraf kemudahan Makerspace sedia ada.

Share this :
UTM Open Day