Program K-Sharing bertajuk “Podcast Geopolitik Global: Tinjauan Asia Barat dan Kesannya Terhadap Dunia” merupakan platform ilmiah yang membincangkan isu geopolitik semasa di rantau Asia Barat serta implikasinya terhadap politik, ekonomi dan keselamatan global. Program ini bertujuan meningkatkan kefahaman peserta terhadap perkembangan dunia secara kritikal, analitikal dan berasaskan fakta.
Program yang diadakan pada 13 Mei 2026 sepenuhnya dalam talian telah menampilkan dua panel akademik berpengalaman iaitu Prof. Dr. Kamaruzaman Yusoff, Mantan UTM dan kini Profesor Adjung, Jabatan Sejarah Islam, Tamadun dan Pendidikan, Universiti Malaya dan Prof. Madya Dr. Muhammad Fathi Yusof, manakala sesi dikendalikan oleh moderator Prof. Dr. Badlihisham Mohd Nasir.

Prof. Dr. Kamaruzaman Yusoff memulakan perbincangan dengan menyatakan bahawa geopolitik Asia Barat merupakan kesinambungan sejarah panjang yang melibatkan perebutan kuasa, konflik ideologi dan kepentingan sumber tenaga dunia. Beliau menegaskan bahawa konflik semasa tidak dapat difahami tanpa melihat campur tangan kuasa besar dunia, khususnya ketegangan antara Iran dan Amerika Syarikat yang menjadi antara faktor utama ketidakstabilan global.

Beliau turut menjelaskan bahawa Amerika Syarikat menggunakan pengaruh politik dan ekonomi bagi mengawal kepentingan strategik dunia, terutama berkaitan sumber minyak dan kestabilan politik antarabangsa. Negara yang tidak sehaluan dengan kuasa besar sering menerima tekanan politik dan ekonomi. Selain itu, beliau menegaskan bahawa kepentingan Israel sentiasa diberi perlindungan kuat oleh Amerika Syarikat bagi memastikan kedudukannya kekal dominan dalam menghadapi penentangan di Gaza dan Tebing Barat serta tekanan daripada negara seperti Iran, Lubnan dan Yaman.

Seterusnya, Prof. Madya Dr. Muhammad Fathi Yusof menegaskan bahawa tindakan Amerika Syarikat dan Israel dalam konflik Asia Barat bertentangan dengan prinsip perundangan antarabangsa, khususnya berkaitan perlindungan orang awam semasa peperangan. Beliau turut menyentuh tindakan Amerika Syarikat membunuh pemimpin tentera Iran yang dianggap sebagai pelanggaran terhadap kedaulatan negara tersebut, selain mengimbas pencerobohan Amerika Syarikat ke atas Iraq pada tahun 2003 yang membawa kepada penangkapan Saddam Hussein dan mencetuskan ketidakstabilan berpanjangan di rantau Asia Barat.

Beliau juga menjelaskan bahawa pengaruh kuasa besar masih memainkan peranan penting dalam menentukan dasar luar negara lain di peringkat global. Selain itu, beliau menegaskan bahawa kos peperangan yang tinggi bukan sahaja menjejaskan ekonomi domestik sesebuah negara, malah turut memberi kesan besar kepada kestabilan ekonomi dunia secara keseluruhan.

Secara keseluruhannya, program ini berjaya membuka perspektif peserta terhadap hubungan erat antara geopolitik, ekonomi dan keselamatan dunia. Perbincangan yang berlangsung bukan sahaja memperkukuh budaya ilmu dan pemikiran kritikal, malah membentuk kesedaran bahawa isu geopolitik global menuntut kefahaman yang mendalam, seimbang dan berasaskan fakta bagi melahirkan masyarakat yang lebih matang, peka serta berwawasan dalam menilai sesuatu konflik antarabangsa.