JOHOR BAHRU, 15 Julai 2026 – Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menerima kunjungan akademik daripada seramai 20 orang peserta Delegasi Jiangsu Yuanmeng Educational Technology Co. Ltd. yang terdiri daripada pelajar dan ibu bapa. Lawatan yang berlangsung dari pukul 12.00 tengah hari hingga 1.00 petang ini bertujuan memberikan pendedahan kepada peserta tentang koleksi ilmu dan sumber maklumat, di samping memperkenalkan kemudahan serta perkhidmatan Perpustakaan UTM sebagai pusat ilmu yang menyokong kecemerlangan akademik dan penyelidikan.

Sesi lawatan diadakan di Perpustakaan Raja Zarith Sofiah (PRZS), hab pembelajaran moden UTM yang menyediakan pelbagai kemudahan bagi menyokong pembelajaran kendiri, kolaboratif dan aktiviti penyelidikan. Ketibaan delegasi telah disambut oleh Encik Muhammad Hazim Yusof, Pustakawan Kanan, dan Puan Kartini Ibrahim, Pembantu Perpustakaan Kanan.
Sepanjang lawatan, para peserta dibawa meninjau ruang dan fasiliti utama yang disediakan di PRZS. Antara lokasi yang dikunjungi termasuk ruang pembelajaran terbuka, bilik karel, bilik perbincangan dan bilik tesis yang menyediakan kemudahan sokongan untuk pembelajaran kendiri, perbincangan akademik serta aktiviti penyelidikan. Para peserta turut diberikan penerangan berkaitan kemudahan digital serta peranan perpustakaan dalam menyediakan akses kepada sumber maklumat bercetak dan elektronik bagi memenuhi keperluan pembelajaran serta penyelidikan warga universiti.

Delegasi turut berpeluang mengunjungi beberapa ruang berkonsepkan warisan dan kecemerlangan akademik, termasuk Galeri Raja Zarith Sofiah, Galeri Tokoh Penyelidik dan Galeri Koleksi Khazanah Intelektual Johor. Ruang-ruang tersebut mempamerkan koleksi bernilai sejarah, pencapaian penyelidikan serta sumbangan ilmuwan dalam pembangunan ilmu. Selain itu, para peserta turut melawat Game Zone, iaitu ruang rekreasi berasaskan pembelajaran yang dilengkapi kemudahan digital sebagai sebahagian daripada usaha Perpustakaan UTM mewujudkan persekitaran pembelajaran yang holistik, inovatif dan mesra pengguna.

Kunjungan ini memberikan pengalaman bermakna kepada para peserta dalam mengenali peranan perpustakaan akademik sebagai pusat pengurusan ilmu, penyedia sumber maklumat serta ruang pembelajaran yang menyokong perkembangan akademik dan penyelidikan. Program seumpama ini turut membuka peluang untuk memperkukuh hubungan strategik antara institusi pendidikan serta memperluas jaringan perkongsian ilmu pada masa hadapan.