Pada 24 Jun 2026 (Rabu), Perpustakaan UTM Kuala Lumpur (PUTMKL) telah menerima kunjungan daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Kolej Vokasional Ipoh yang melibatkan 28 orang pelajar serta tiga (3) orang guru pengiring.

Para peserta lawatan tiba pada pukul 11.30 pagi dan disambut mesra oleh warga Perpustakaan UTM Kuala Lumpur. Seterusnya, mereka mengikuti sesi taklimat mengenai Jabatan Perpustakaan UTM yang disampaikan oleh Puan Sharifah Radhiah Syed Azman, Pustakawan Perpustakaan UTM Kuala Lumpur. Taklimat tersebut memberikan penerangan tentang peranan perpustakaan dalam menyokong pembelajaran, penyelidikan dan pembangunan akademik, di samping memperkenalkan pelbagai perkhidmatan serta kemudahan yang disediakan untuk dimanfaatkan oleh warga universiti.

Sepanjang sesi lawatan, para pelajar dibawa meninjau pelbagai kemudahan dan fasiliti utama yang terdapat di Perpustakaan UTM Kuala Lumpur, antaranya Galeri, Ruang Bacaan, Bilik Perbincangan, Bilik Karel, Library XChange Hub, Wisdom Lounge, Game Zone serta koleksi bahan perpustakaan. Penerangan yang diberikan sepanjang lawatan membolehkan para pelajar memahami fungsi setiap ruang dan bagaimana ia dimanfaatkan bagi menyokong proses pembelajaran yang lebih kondusif dan berkesan.

Lawatan ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai peranan perpustakaan sebagai pusat ilmu dan pembelajaran, malah membuka ruang untuk bertukar pandangan serta berkongsi pengalaman berkaitan pengurusan perpustakaan dan budaya pembelajaran di institusi pengajian tinggi.

Perpustakaan UTM Kuala Lumpur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kolej Vokasional Ipoh atas kesudian mengadakan lawatan ke perpustakaan ini. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai medium untuk memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan, memperluas jaringan kerjasama serta menyemarakkan budaya ilmu, pembelajaran sepanjang hayat dan perkongsian amalan terbaik demi melahirkan generasi yang berpengetahuan, berdaya saing dan berpikiran kreatif dan inovatif.

Share this :
UTM Open Day