Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (PUTMKL) telah menganjurkan Program Podcast UTM Library On Air dengan kolaborasi bersama Institut Sultan Iskandar (ISI) bagi Episod 1/2026 pada 26 Jun 2026. Program ini mengupas topik “Kecerdasan Buatan Beretika untuk Pembangunan Mampan” yang semakin relevan dalam era transformasi digital masa kini.

Siaran eksklusif ini telah disiarkan menerusi platform Facebook dan YouTube UTM Library, menampilkan Prof. Madya Dr. Aini Suzana Datuk Hj. Ariffin, President AI & Robotics, ASEAN CXO Association serta Pakar AI CAIRO UTM & ISI sebagai panel jemputan. Sesi ini dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Wan Nurul Mardiah Wan Mohd Rani, Timbalan Pengarah Institut Sultan Iskandar (ISI) selaku moderator.

Perbincangan memberi tumpuan kepada bagaimana kecerdasan buatan (AI) boleh dimanfaatkan bagi menyokong agenda pembangunan mampan tanpa mengabaikan kesejahteraan manusia dan alam sekitar. Panel turut berkongsi pandangan mengenai kepentingan AI beretika, cabaran teknologi semasa serta keperluan memastikan “akal” mesin dipandu oleh “nurani” manusia agar transformasi digital bersifat inklusif dan tidak meninggalkan mana-mana pihak di belakang.

Dalam perkongsian beliau, Prof. Madya Dr. Aini Suzana menegaskan bahawa UTM berada pada landasan yang tepat dalam memperkukuh pembangunan dan perlaksanaan AI. Berdasarkan penglibatan beliau dalam membantu beberapa kementerian membangunkan dasar AI di peringkat nasional, beliau melihat UTM telah berjaya mengangkat kecemerlangan institusi seiring perkembangan era kecerdasan buatan.

Beliau turut menjelaskan bahawa AI merupakan game changer yang berpotensi mempercepatkan pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), merangkumi bidang kesihatan, pendidikan, pembasmian kemiskinan, pembangunan bandar pintar serta peningkatan produktiviti. Malah, AI juga mampu membantu mengurangkan kos sara hidup melalui peningkatan kecekapan sistem dan inovasi penyampaian perkhidmatan.

Namun begitu, cabaran utama yang diketengahkan ialah tahap kesedaran dan literasi AI beretika yang masih rendah dalam kalangan masyarakat. Justeru, pembangunan AI perlu berpaksikan prinsip etika seperti keadilan tanpa diskriminasi, ketelusan data serta akauntabiliti dalam setiap sistem yang dibangunkan dan digunakan.

Beliau turut menyeru agar generasi muda membangunkan serta menggunakan AI secara beretika dan bertanggungjawab terhadap masyarakat serta alam sekitar. AI perlu difahami sebagai alat sokongan kepada manusia, bukan pengganti pemikiran insan. Selaras dengan pendekatan human-centric AI di peringkat global, pembangunan teknologi perlu kekal berlandaskan nilai kemanusiaan.

Secara keseluruhannya, AI wajar dimanfaatkan secara berhemah bagi menyokong agenda pembangunan mampan tanpa mengabaikan kesejahteraan sejagat. Peranan ibu bapa, pendidik dan masyarakat amat penting dalam merapatkan jurang literasi AI agar teknologi ini dapat difahami serta digunakan secara bertanggungjawab.

“AI is a machine, but whatever it is, we still need a human.”

Seiring kemajuan teknologi, nilai kemanusiaan kekal menjadi kompas utama dalam membentuk masa depan yang lebih seimbang, inklusif dan beretika.

 

Share this :
UTM Open Day