JOHOR BAHRU, 21 Oktober – Program Telaah Siri 09/2026 anjuran Jabatan Perpustakaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) membincangkan buku Menuju Hidup Sejahtera yang mengetengahkan aspek kesejahteraan diri, pengurusan emosi, penetapan matlamat dan keupayaan menghadapi cabaran kehidupan. Program ini menampilkan dua orang panelis, iaitu Prof. Madya Dr. Mastura binti Mahfar, Pensyarah Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, serta Prof. Madya Dr. Aslan Amat Senin, Pensyarah Fakulti Pengurusan UTM. Sesi perbincangan dikendalikan oleh Encik Dzulhelmi bin Mohd Razali, Timbalan Pendaftar, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UTM Johor.

Moderator memulakan perbincangan dengan panel pertama iaitu Prof. Madya Dr. Mastura binti Mahfar yang menjelaskan bahawa buku Menuju Hidup Sejahtera merupakan panduan praktikal untuk membantu individu memahami diri, mengurus tekanan dan membina kesejahteraan emosi serta mental. Beliau menegaskan bahawa setiap individu pasti menghadapi pelbagai ujian, termasuk masalah kesihatan, kewangan dan tuntutan akademik khasnya untuk para pelajar. Oleh itu, keupayaan mengurus tekanan amat penting bagi memastikan kesejahteraan diri terpelihara. Beliau turut menghuraikan bahawa kesihatan mental merangkumi keupayaan mengenali potensi diri, mengurus tekanan, bekerja secara produktif dan menyumbang kepada masyarakat. Emosi negatif seperti marah dan kecewa boleh dipengaruhi oleh corak pemikiran yang cenderung membuat andaian melampau atau menjangkakan perkara buruk. Justeru, individu perlu mengubah perspektif dan mengawal tindak balas emosi bagi mengurangkan tekanan. Selain itu, beliau menekankan kepentingan komunikasi berkesan, empati dan sikap bertolak ansur dalam menangani konflik. Kesediaan untuk berkompromi dan memahami perspektif orang lain dapat membantu mewujudkan hubungan yang lebih harmoni.

Panel kedua Prof. Madya Dr. Aslan Amat Senin pula mengupas mengenai kepentingan menetapkan matlamat yang jelas sebagai panduan untuk memberikan makna dan hala tuju dalam kehidupan. Menurut beliau, matlamat perlu bersesuaian dengan keupayaan diri dan keadaan semasa. Apabila berlaku perubahan dalam kehidupan, seseorang perlu bersedia menyesuaikan perancangan agar kekal relevan serta dapat mengelakkan tekanan yang berlebihan. Beliau memperkenalkan tiga elemen utama, iaitu Awareness (kesedaran), Accept (penerimaan) dan Action (tindakan), sebagai panduan menghadapi perubahan. Kesedaran membantu individu mengenal pasti perubahan yang berlaku, manakala penerimaan membolehkan seseorang menerima realiti dan keadaan yang tidak dapat dikawal. Seterusnya, tindakan merujuk kepada usaha mengambil langkah yang sesuai bagi menyesuaikan diri dengan situasi baharu. Beliau turut menjelaskan enam dimensi kesejahteraan, iaitu eksplorasi diri, emosi, mental, tingkah laku, sosial dan spiritual, serta kepentingan penguasaan persekitaran. Kesemua aspek ini saling melengkapi dalam membentuk kehidupan yang seimbang dan membantu individu mengurus diri serta persekitaran dengan lebih berkesan.

Sebagai rumusan, moderator, Encik Dzulhelmi bin Mohd Razali, menyimpulkan bahawa kesejahteraan hidup memerlukan keseimbangan emosi, mental, sosial dan spiritual. Berdasarkan perkongsian kedua-dua panel, individu perlu memahami diri, mengurus tekanan, menetapkan matlamat yang jelas serta bersedia menerima perubahan dalam kehidupan. Kesimpulannya, kehidupan sejahtera bukan bermaksud bebas daripada cabaran, tetapi keupayaan menghadapi cabaran dengan bijaksana dan positif. Diharapkan perkongsian ini dapat dimanfaatkan oleh para peserta dalam membina kehidupan yang lebih seimbang dan bermakna.

Share this :
UTM Open Day