JOHOR BAHRU, 29 Oktober – Satu lawatan penandaarasan oleh Seksyen Arkib & Repositori (SAR), Bahagian Ilmu Pengetahuan Institusi ke Arkib Negara Malaysia (ANM) Cawangan Johor telah diadakan pada 29 Oktober 2026 (Khamis), jam 9.00 pagi. Lawatan yang berlangsung di Tingkat 7, Blok B, Wisma Persekutuan, Ibrahim International Business District, Johor Bahru ini diketuai oleh Pn. Haslina binti Hussin, Ketua SAR, bersama lapan orang staf.

Lawatan ini merupakan antara usaha SAR untuk mendapatkan pendedahan dan berkongsi amalan terbaik dalam pengurusan arkib sebagai rujukan bagi menambah baik pengurusan arkib UTM secara berterusan. Sebagai institusi utama negara dalam pengurusan dan pemeliharaan rekod serta bahan arkib awam, ANM Cawangan Johor menjadi destinasi pilihan bagi mendapatkan gambaran secara langsung tentang pelaksanaan pengurusan arkib yang sistematik dan profesional.

Sepanjang lawatan, delegasi SAR diberi penerangan tentang beberapa aspek penting, antaranya pematuhan kepada piawaian pengurusan rekod, penggunaan MS ISO 15489-1:2020 sebagai rujukan dalam pengurusan rekod, serta pelaksanaan sistem pengurusan rekod aktif DDMS 2.0 yang disediakan oleh Arkib Negara Malaysia yang boleh dimohon secara percuma. Turut dikongsikan ialah amalan pewasapan (fumigasi) bagi mengawal makhluk perosak, kaedah pemeliharaan dan pemuliharaan dokumen, proses pendigitalan bahan fotograf serta pengurusan arkib secara menyeluruh.

Delegasi turut berpeluang melawat ruang perpustakaan dan gedung rekod ANM Cawangan Johor yang menempatkan kira-kira dua juta dokumen. Lawatan ini memberikan gambaran lebih jelas tentang pengurusan, penyimpanan dan penjagaan rekod dalam memastikan bahan arkib terus terpelihara dan dapat diakses untuk rujukan pada masa hadapan.

Secara keseluruhannya, lawatan ini memberi pendedahan yang bermanfaat kepada staf SAR, khususnya dalam mengenal pasti amalan dan pendekatan yang boleh dijadikan panduan untuk memperkukuh pengurusan arkib UTM. Dapatan lawatan ini diharapkan dapat menjadi panduan kepada SAR dalam merancang langkah untuk memperkukuh peranan seksyen dalam pengurusan arkib dan pembangunan koleksi universiti, selaras dengan hala tuju Pelan Strategik UTM ASCEND 2030.

Lawatan diakhiri dengan penyampaian cenderamata daripada Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM) kepada Pengarah ANM Cawangan Johor, Dr. Mohd. Ariffin bin Santol. Sesi lawatan tamat sekitar jam 1.00 petang.

Share this :
UTM Open Day