Sesi Quarantine Book Sharing @KSJ Siri Ketiga telah diadakan secara langsung pada 10 September 2021 dari Facebook Live UTM Library Kuala Lumpur dan Facebook Live JKMKSJ. Program anjuran JKMKSJ dengan kerjasama dari UTM Library Kuala Lumpur telah berhasil memberikan perkongsian yang bernas dan penuh dengan nasihat lantas berjaya menambat hati para penonton serta memberikan serba sedikit ilmu pengetahuan melalui ulasan yang diberikan oleh pengulas.
Tajuk buku pertama yang dikongsikan adalah A Newbury and Hobbes Investigation: The Affinity Bridge yang ditulis oleh George Mann telah disampaikan oleh Saudari Nurin Liyana Binti Anwar. Buku ini mengisahkan tentang penyiasatan yang bertemakan era teknologi baru iaitu dunia Victoria yang aneh dan berbahaya, sebuah kota yang penuh dengan revolusi. Kapal terbang melayang di langit kota, kereta darat bergelombang di jalanan dan jam automatik diprogramkan untuk menjalankan tugas kasar di pejabat peguam, polis dan wartawan. Namun begitu, di sebalik kemajuan juga terdapat perkara-perkara pelik yang terjadi seperti mayat-mayat mampu bangkit daripada kematian. Penyiasatan yang dilakukan oleh seorang kakitangan muzium bermula apabila sebuah kapal terbang besar yang diberi nama HINDENBURG terhempas secara misteri. Pada masa yang sama, kapal terbang HINDENBURG telah dicipta dengan berbagai kerosakan yang misteri. Oleh yang demikian penyiasatan dilakukan untuk mencari punca kerosakan tersebut berlaku.
Perkongsian untuk buku kedua pula adalah bertajuk Paper Town yang ditulis oleh John Green telah disampaikan oleh saudari MA Athirah Sapawi. Buku ini bermula dengan prolog yang berlaku sembilan tahun sebelum peristiwa novel ini. Ketika Quentin Jacobsen dan Margo Roth Spiegelman berumur sembilan tahun, mereka menemui seorang lelaki yang mati disebuah taman berhampiran. Pengalaman itu telah membuatkan Quentin dan Margo menjalin ikatan yang samar-samar tetapi berpanjangan diantara mereka. Pengulas mengatakan, buku ini berkisarkan tentang pencarian jati diri, tentang keluarga, persahabatan, dan pandangan dari sisi seorang remaja terhadap dunia di sekelilingnya.
Terima kasih diucapkan kepada saudari Nurin Liyana Binti Anwar dan saudari MA Athirah Sapawi atas sesi perkongsian yang santai dan penuh dengan imaginasi. Tahniah dan syabas kami ucapkan kepada semua yang bersama kami sepanjang sesi Quarantine Book Sharing @KSJ dan semoga sesi kali ini memberikan seribu satu manfaat dalam memantapkan gaya hidup ke arah yang lebih baik.