Program BookSharing@UTMKL 2021 Siri 15 telah diadakan pada hari Khamis, 23 September 2021. Dua orang penyampai telah dijemput untuk membuat perkongsian pada kali ini iaitu Puan Suhaini Binti Mashuri daripada Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) dan Encik Mohd Rizuan Bin Md Fouzi daripada Jabatan Harta Bina. Puan Nurrull Huda Binti Abdul Wahid selaku moderator pada siri ini telah menjemput Puan Suhaini Binti Mashuri untuk memulakan perkongsian. Beliau telah memilih buku Koleksi Resepi Dan Tips Masakan yang ditulis oleh Yatie Kitchen.
Permulaan perkongsian, penyampai menceritakan serba sedikit latar belakang penulis. Nama sebenar penulis buku Koleksi Resipi Dan Tips Masakan ini ialah Nur Hayati Zainol Abidin dan beliau merupakan Duta Produk Adabi. Buku ini mempunyai 4 edisi, untuk edisi pertama ni ada 93 jenis resipi dan dibahagikan kepada 8 bahagian. Buku ini menarik bagi penyampai kerana gaya penulisan yang digunakan pada buku ini sangat santai dan mudah difahami oleh pembaca. Buku ini sangat membantu bagi golongan yang ingin belajar memasak terutamanya kaum suami. Setiap menu ada disertakan gambar menu, tips masakan dan langkah-langkah untuk rujukan. Menurut penulis, bahan-bahan yang digunakan untuk resipi di dalam buku ini mudah diperoleh dan menggunakan produk Adabi.
Penulis terkenal dengan ‘tagline’ iaitu Tumis 5 Kali . Antara menu yang dikongsikan adalah menu sayur-sayuran dan ulam-ulaman, menu masakan nasi, menu masakan makanan laut, menu masakan berasaskan ayam dan pelbagai lagi. Penulis turut berkongsi petua dan tips di dapur bagi penyediaan bahan masakan yang mudah dan secara keseluruhannya buku ini sangat membantu kepada yang ingin mempelajari ilmu masakan di dapur dan juga bermanfaat buat mereka yang buntu dalam menyediakan kepelbagaian hidangan untuk keluarga tersayang.
Menariknya pada sesi ini, penulis buku Yatie Kitchen juga turut serta pada hari perkongsian dan beliau berbesar hati telah menyumbangkan 4 buah buku penulisannya kepada Perpustakaan UTM Kuala Lumpur sebagai koleksi dan buat semua pengguna. Semoga buku yang dihadiahkan ini dapat dibaca dan dimanfaatkan bersama oleh semua pengguna.
Perkongsian diteruskan lagi dengan menjemput penyampai seterusnya iaitu Encik Mohd Rizuan Bin Md Fouzi. Beliau telah memilih eBook Covid-19 Dan Vaksin yang ditulis oleh Fahmi Hassan. eBook ini adalah berkaitan virus yang sedang melanda seluruh negara ketika ini dan ditulis untuk memudahkan pembaca mencapai maklumat berkaitan Covid-19 dengan mudah. Di awal pembacaan, pembaca akan didedahkan dengan maklumat berkaitan Covid-19 di mana virus ini boleh tersebar melalui sentuhan, bersin, batuk, udara dan lain-lain. Virus yang boleh mengundang maut ini sangat mudah tersebar dan kini lebih berbahaya apabila wujudnya pelbagai varian virus baru.
Penulis turut menegaskan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengelakkan 3S iaitu Sesak, Sempit dan Sembang Dekat sebagai cara kita dalam mempraktikkan norma baharu selain pemakaian ‘double mask’ untuk perlindungan yang lebih berkesan. Penulis turut menjelaskan berkaitan ‘hand sanitiser’ dimana penggunaannya adalah ketika ketiadaan sabun dan air. Ini menjelaskan bahawa, individu adalah digalakkan untuk kekal membasuh tangan sekurang-kurangnya dalam tempoh 20 saat adalah lebih berkesan membunuh virus dan bakteria berbanding penggunaan ‘hand sanitiser’. Bagi penggunaan ‘hand sanitiser’ pula, kandungan alkohol dengan kepekatan 65% atau lebih adalah digalakkan untuk membunuh virus.
Buku ini juga menerangkan 3 jenis vaksin yang diguna pakai di Malaysia iaitu Pfizer, Sinovac dan Astrazeneca serta bagaimana vaksin tersebut berjaya dibangunkan dalam masa yang cepat selain mencertiakan mengenai keberkesanan vaksin dan kesan sampingan yang akan diperolehi oleh penerima vaksin untuk beberapa ketika. Tuntasnya, buku ini harus dibaca oleh setiap orang bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan sekaligus mampu mengelakkan kita dari terjangkiti virus Covid-19. Pilihan adalah di tangan kita, kita mampu mengubahnya.