Pada 19 September 2021, Perpustakaan UTM telah menganjurkan sesi perkongsian ilmu bertajuk “Penyelidikan Ke Bisnes: Perspektif Pelajar”. Penganjuran program ini adalah bersempena dengan UTM Library Research Weeks 2021 yang bertemakan “Synergising Research & Digital Library Services in the New Normal”. Sesi perkongsian kali ini menampilkan pelajar-pelajar dari Fakulti Kejuruteraan UTM yang berjaya menceburi dunia perniagaan dengan mengkomersilkan hasil penyelidikan mereka. Panel jemputan iaitu Encik Muhammad Aris Edham bin Johazaly, dan Cik Norfarhan Hidayah binti Pajar sebagai Pengurus Operasi dan Pengurus Pendidikan mewakili Syarikat HF Robotics manakala Encik Cheok Ming Jin merupakan Ketua Pegawai Eksekutif daripada Syarikat Charby Sdn. Bhd.
Melalui perkongsian ini kita didedahkan dengan pengalaman mahasiswa UTM yang telah berjaya menghasilkan produk mereka sendiri. Mereka menggabungkan minat dan kepakaran untuk meningkatkan potensi diri melalui bidang perniagaan. Selain itu, sokongan serta bantuan daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) juga merupakan faktor utama kejayaan mereka menghasilkan inovasi terkini demi memenuhi tuntutan pasaran.
HF Robotics telah menghasilkan produk yang diberi nama JituBotz Micro yang mana produk ini merupakan robot yang dicipta mengikut kepada kesesuaian pendidikan STEM. Robot ini dicipta khas untuk membantu pembelajaran robotik terutamanya kepada golongan pelajar. Manakala Charby Sdn Bhd telah menghasilkan produk pengecas alat elektronik yang berjaya menembusi pasaran luar negara dan mencatat keuntungan melebihi RM200 ribu.
Menurut pengalaman yang dikongsikan oleh panel jemputan, mereka bermula dengan menyertai dan memenangi beberapa pertandingan serta pameran. Mereka bermula dengan menjual produk yang dihasilkan oleh syarikat lain sehinggalah mereka akhirnya berani untuk melangkah ke hadapan dengan menghasilkan produk sendiri.
Walaupun mereka masih lagi bergelar mahasiswa, namun ia bukan penghalang untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan pada masa yang sama. Malah ia menjadi nilai tambah kepada usaha yang mereka lakukan. Ujian dan cabaran adalah lumrah dan tidak dianggap sebagai satu kekangan malah ia dilihat sebagai satu peluang untuk mereka bergerak lebih jauh ke hadapan.