Sesi perkongsian ilmu yang bertajuk Research@UTM: Where are we heading? merupakan acara kemuncak program UTM Library Research Weeks 2021 yang berlangsung pada 30 September 2021. Sesi ini dianjurkan khusus untuk mendekati para penyelidik UTM di samping mewujudkan medium kerjasama erat di antara penyeildik dan Perpustakaan UTM. Ia juga berjaya membuka ruang percambahan maklumat antara keduanya. Sesi ini menampilkan tetamu istimewa iaitu Profesor Dr. Rosli Md Illias yang merupakan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) serta Profesor Dr. Mohd Shahrizal Sunar, Pengarah iHumen, UTM.
Semarak perkembangan penyelidikan di UTM dapat dilihat dengan jelas melalui kejayaan penyeldidik UTM serta inovasi yang dihasilkan saban tahun. Profesor Dr Rosli Md Illias berkongsi pengalaman beliau mengenai budaya penyelidikan dalam kalangan para pensyarah yang ternyata berbeza 20 tahun yang lalu jika dibandingkan dengan sekarang. Penarafan UTM sebagai universiti penyelidikan telah melonjak budaya pemikiran serta fokus pensyarah dalam menghasilkan penerbitan bersitasi tinggi. Indikator kepada kualiti penyelidikan UTM dapat dilihat melalui penerbitan berimpak yang berjaya diterbitkan dalam jurnal-jurnal Q1 dan Q2 dengan jumlah sitasi melebihi 100,000 pada tahun 2020. Rangsangan terhadap budaya penyelidikan juga telah menyaksikan peningkatan penyelidik kepada 70% selain jumlah inovasi serta perolehan geran penyelidikan. Pengiktirafan UTM sebagai Universiti Penyelidikan sememangnya memberikan impak yang sangat besar kepada kecemerlangan UTM.
Daripada perspektif penyelidik muda pula, Profesor Dr Mohd. Shahrizal berkongsi tentang penubuhan UTMShine yang bertanggungjawab mengasah potensi penyelidik muda UTM yang cemerlang agar kepakaran mereka dapat dimanfaatkan bukan hanya dalam bidang kajian mereka tetapi juga merentas displin bidang penyelidikan yang lain. UTMShine juga bekerjasama dengan beberapa PTJ di UTM untuk menyemarakkan lagi budaya penyelidikan dalam kalangan staf akademik muda. Program Growing Talent Development adalah hasil jalinan kerjasama di antara UTMShine dan UTM Lead sebagai salah satu usaha untuk menggilap potensi para penyelidik muda.
Menyentuh kepada UTM Research Blueprint 2021-2025, Profesor Dr Rosli Md Illias berkata ia merupakan garis panduan utama dalam memacu aktiviti jangka panjang penyelidikan UTM. Matlamat utamanya adalah untuk menyalurkan semua hasil penyelidikan kepada komuniti dan kesejahteraan sosio ekonomi masyarakat. Prof. Dr. Mohd. Shahrizal turut bersetuju dengan inisiatif pelaksaan Open Science yang dilihat dapat memberi manfaat kepada visibiliti penyelidik UTM di mata dunia.
Kedua panel turut menekankan bahawa Pustakawan memainkan peranan yang sangat penting dalam menjayakan inisiatif UTM Research Blueprint 2025. Perpustakaan UTM perlu seiring dalam menyokong aktiviti penyelidikan dan peka akan keperluan penyelidik. Selain memperkukuhkan sumber koleksi bahan, Perpustakaan perlu memperkasa perkhidmatan runding rujuk maklumat penyelidikan, memperluas program perkongsian ilmu dan sebagainya.