Pada 18 Oktober 2021, Jabatan Perpustakaan UTM telah menganjurkan sebuah sesi k-sharing yang bertajuk “Agar Kerjaku Diberkati” yang dibawakan khas bersempena Sambutan Maulidur Rasul 1443 Hijrah. Program ini dijalankan dengan memberi penekanan nilai-nilai ISES (Integrity, Synergy, Excellence, Sustainability) dikalangan staf Jabatan Perpustakaan UTM secara khususnya.

Al-Fadhil Ustaz Ellyeen Amineen bin Mohd Salleh telah dijemput sebagai penceramah jemputan bagi sesi ini. Beliau merupakan penceramah bebas iaitu sebagai pembimbing agama selain turut dilantik sebagai mutawwif haji dan umrah. Antara intipati utama sesi ceramah ini adalah untuk memberikan motivasi kepada semua staf Jabatan Perpustakaan agar tidak cuai dan leka dalam menjalankan tanggungjawab dan amanah sebagai penjawat awam.


Al-Fadhil Ustaz menasihatkan semua staf agar sentiasa ikhlas dan produktif apabila menjalankan tugas. Ini kerana kerja yang dilakukan adalah ibadah harian dan tidak seharusnya dilepaskan sebagai punca ganjaran pahala. Jelasnya lagi, tujuan pekerjaan dilakukan bukanlah semata-mata untuk memenuhi tuntutan dunia sahaja, tetapi ianya juga sebagai persiapan menuju jalan ke akhirat kelak. Beliau juga turut mengingatkan agar semua staf menjauhi sifat berkira dalam dalam melaksakan tugas dan sentiasa berusaha memberi sumbangan yang terbaik samada secara terus atau tidak demi kecemerlangan UTM dimasa akan datang.

Share this :