Perpustakaan UTM Kuala Lumpur telah menganjurkan Bengkel Latihan Penggunaan WordPress kepada wakil Malay Agricultural Settlement (MAS) Kampong Bharu pada 10 November 2021 (Rabu) secara atas talian melalui platform Webex.
Bengkel selama satu (1) hari yang bermula dari jam 10.00 pagi sehingga 4.00 petang telah disampaikan oleh Puan Noor Ayesha Mohd Ezanee, Pustakawan Kanan Unit Galeri dan Encik Hairi Aziz, Pembantu Pustakawan Unit Galeri. Seramai lima orang wakil MAS telah menghadiri bengkel ini dan turut serta ialah Tn. Haji Shamsuri Suradi, Setiausaha Kehormat (MAS) Kampong Bharu.
Program ini bertujuan untuk memberikan pendedahan ilmu tentang penggunaan portal Gallery@UTMKL ataupun dikenali sebagai UTM Virtual Gallery kepada pihak MAS Kampong Bharu. Ianya adalah sebahagian perkara yang termaktub di dalam perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) antara UTMKL dan MAS untuk menempatkan bahan sejarah mengenai Kampong Bharu di Gallery@UTMKL.
Puan Noor Ayesha Mohd Ezanee telah memulakan bengkel dengan berkongsi maklumat tentang bahan-bahan yang terdapat di Gallery@UTMKL. Turut diceritakan adalah sejarah UTMKL dan maklumat mengenai warisan sejarah Kampong Bharu serta koleksi bahan yang disimpan secara digital. Koleksi digital Gallery@UTMKL telah memudahkan para penyelidik sama ada dalam dan luar negara untuk mengaksesnya.
Manakala sesi petang telah diteruskan oleh Encik Hairi Aziz dengan menerangkan kaedah memuatnaik bahan ke portal menggunakan WordPress. Penerangan dibuat secara terperinci dan mudah difahami seperti cara untuk mewujudkan post baru di dalam WordPress dan langkah memuatnaik gambar untuk memudahkan pencarian oleh pengguna. Semoga maklumat dan pengetahuan tentang penggunaan WordPress yang dikongsi dapat memberi manfaat seterusnya meningkatkan kerjasama yang lebih strategik antara Perpustakaan UTMKL dan Malay Agricultural Settlement (MAS) Kampong Bharu di masa hadapan terutama untuk penambahan kolesi di Gallery@UTMKL.