Program BookSharing@UTMKL 2021 Siri 19 telah diadakan secara dalam talian menerusi Facebook Live Perpustakaan UTM Kuala Lumpur (UTM KL) pada Khamis, 9 Disember 2021 tepat jam 10.00 pagi. Dua orang pengulas telah dijemput iaitu En. Muhammad Thakib Bin Anua, Juruteknologi Makmal Perubatan, Pusat Kesihatan Universiti Kuala Lumpur (KL) dan Cik Siti Zarihan Bt Zakaria, Penolong Jurutera, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi). Moderator program ialah En. Mohd Azalan Bin Mohd Lazim, Pembantu Pustakawan Kanan, Perpustakaan UTM KL.

Pengulas pertama, En. Muhammad Thakib Bin Anua berkongsi buku Mengawal Kolesterol yang ditulis oleh Dr. Bruce Miller. Menurut beliau, buku ini merungkai fakta-fakta asas yang berkaitan dengan kolesterol, kesan kolesterol dalam badan, dan cara untuk mengawal penyakit akibat kolesterol. Kolesterol merupakan sejenis lemak yang diperlukan oleh tubuh dan berfungsi melindungi sistem saraf. Terdapat dua jenis kolesterol iaitu kolesterol baik (HDL) dan kolesterol buruk (LDL). Pengambilan makanan tambahan seperti multivitamin, asid lemak omega 3, bawang putih, Vitamin E, C dan B juga penting dalam mengawal kadar kolesterol dalam badan. Secara kesimpulannya kunci kehidupan yang sihat adalah mengamalkan gaya hidup sihat serta  menjaga  pemakanan untuk memastikan mendapat nutrien yang seimbang.

Pengulas seterusnya ialah Cik Siti Zarihan Bt Zakaria yang memilih buku Intermittent Fasting (IF) Basics karya Lindsay Boyers, CHNC. Buku ini merupakan panduan asas kesihatan yang mudah difahami untuk membantu menurunkan berat badan dengan strategik.  IF merupakan satu kaedah berpuasa pada masa tertentu mengikut aturan yang ditetapkan secara konsisten menggunakan kaedah 16:8 di mana 16 jam adalah waktu berpuasa dan 8 jam lagi adalah masa dibolehkan untuk makan.

Buku ini juga menyingkap kehebatan berpuasa sebagai satu alternatif dalam menyelesaikan masalah kesihatan dan juga sebagai terapi untuk seorang pesakit dimana berpuasa membolehkan badan memfokuskan diri untuk pulih secara sendiri (self-healing). Antara kelebihan IF ialah dapat meningkatkan metabolisme dalam badan, kadar insulin yang seimbang, kesihatan jantung dan mengurangkan kolestrol di dalam badan.

Semoga perkongsian yang sarat dengan ilmu kesihatan dapat dimanfaatkan oleh semua dan diamalkan dengan penuh istiqomah dalam menjaga kesihatan diri.

Share this :