Program BookSharing di UTM Kuala Lumpur melabuhkan tirainya pada 23 Disember yang lalu. Dua orang pengulas yang dijemput ialah Cik Ruzanna binti Abd Samad dan Cik Nor Fadhillah Binti Mohd Radzi. Kedua-dua merupakan Penolong Pegawai Tadbir dari Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT) Kuala Lumpur. Manakala moderator adalah Encik Nor Iman Bin Ibrahim, Pembantu Pustakawan Kanan UTM KL.
Pengulas pertama, Cik Ruzanna binti Abd Samad berkongsi buku bertajuk The Little Book of Ikigai yang ditulis oleh Ken Mogi. Ikigai ialah falsafah yang diterapkan dalam kehidupan seharian orang Jepun bagi mencapai kebahagiaan dalam kehidupan. Menurut pengulas, Ikigai mampu mendorong individu menghargai tujuan untuk hidup dengan melakukan perkara yang membahagiakan samada dalam perkerjaan, hobi dan lain-lain.
Pengulas kedua, Cik Nor Fadhillah Binti Mohd Radzi berkongsi buku bertajuk Mengenali Potensi Sebenar Anda, yang ditulis oleh Dr. K. Ghazali. Buku ini merupakan sebuah buku motivasi yang dapat membantu untuk mengenal pasti potensi sebenar diri dengan mengenali diri sendiri dan menilai potensi yang ada pada diri. Selain itu faktor seperti komunikasi dan sentiasa berfikiran positif penting dalam mempertingkatkan kebolehan diri. Sifat berani untuk gagal adalah merupakan kunci kejayaan dengan menanam semangat ‘saya boleh’ serta hadapinya dengan penuh kesabaran dan ketenangan.