Jabatan Perpustakaan UTM mendapat sokongan yang amat baik daripada agensi kerajaan dan swasta serta penyumbang persendirian dari dalam dan luar UTM bagi aktiviti sumbangan bahan bacaan untuk dijadikan sebagai sebahagian daripada koleksi bahan bacaan Perpustakaan UTM. Secara keseluruhannya, Perpustakaan UTM menerima sebanyak 3,802 naskhah sumbangan bahan bacaan sepanjang tahun 2021 di mana 3,038 naskhah diterima di Bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah UTM Johor Bahru dan 764 naskhah diterima di Perpustakaan UTM Kuala Lumpur.

Statitik Penerimaan Hadiah Bahan Bacaan PSZJB bagi Tahun 2021

Pengurusan UTM juga tidak melepaskan peluang bagi menyumbangkan bahan bacaan untuk dijadikan sebagai koleksi Perpustakaan UTM, antaranya adalah YBhg. Dato’ Dr. Hj. Mohamed Mansor @ Ismail bin Abdullah yang telah dianugerahkan gelaran Profesor Emeritus pada Majlis Konvokesyen UTM ke 64, Pro Canselor UTM, YBhg. Tan Sri Dr. Salleh bin Mohd Nor, Naib Cancelor UTM, YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Bin Ismail dan ramai lagi. Manakala agensi kerajaan yang telah menyumbangkan buku ialah Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) Kementerian Pengajian Tinggi, Jabatan Akauntan Negara Malaysia dan beberapa agensi kerajaan yang lain. Selain itu, terdapat juga penyumbang buku dalam kalangan staf, pelajar dan alumni UTM yang terdiri daripada Encik Ngadiso bin Darus, mantan Pengarah Sukan UTM,  Assoc. Prof. Ts. Ir. Dr. Nasrul Humaimi Bin Mahmood, Dr. Rashidah@Siti Saedah binti Arsat, Dr Doria binti Abdullah, Puan Nurliyana Hassan, Cik Nurul Jannah Roslan serta pelajar-pelajar UTM dan alumni UTM.

Statistik Penerimaan Hadiah Bahan Bacaan PSZKL bagi Tahun 2021

Perpustakaan UTM juga amat berbesar hati apabila turut menerima buku yang disumbangkan sendiri oleh penulis buku.  Penulis pertama yang menyumbangkan buku ialah Dr. Farhah Syakirah Bt Mohamad Nor yang merupakan seorang doktor perubatan yang menulis buku tentang pengalaman pesakit dan dirinya sendiri. Kedua ialah Puan Nurhayati Binti Zainol Abidin pemilik akaun instagram Yatie Kitchen yang mempunyai lebih dari 80K follower telah menyumbangkan sebanyak tiga set buku resipi masakan beliau merangkumi edisi 1 hingga edisi 4 yang telah diletakkan di tiga cawangan utama perpustakaan UTM. Selain itu, Jabatan Perpustakaan UTM juga turut menerima sumbangan bahan bacaan dari agensi luar seperti Malaysian Rubber Glove Manufacturers Association dan Persatuan Soka Gakkai Malaysia.

Jabatan Perpustakaan ingin merakamkan jutaan terima kasih terhadap sokongan yang diberikan oleh para dermawan daripada pelbagai pihak dan peringkat, yang sudi menghadiahkan bahan bacaan di dalam meningkatkan sumber dan koleksi bahan bacaan buat pelajar UTM tercinta khususnya. Semoga usaha ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengguna perpustakaan dan pelajar UTM khususnya.

Terima kasih tidak terhingga diucapkan kepada semua yang telah menyumbangkan buku kepada perpustakaan dan semoga dapat dimanfaatkan kepada pengguna untuk tujuan pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan di UTM. Sebarang pertanyaan mengenai buku sumbangan, emel kepada Pn Siti Marlia Abd Rahim, Pustakawan Unit Hadiah dan Pertukaran (smarlia@utm.my).

 

Share this :