Program BookSharing@UTMKL 2022 bagi siri kedua telah diadakan pada Khamis, 10 Februari 2022. Tetamu istimewa pada program ini  adalah Tuan Hj. Mohd Najib Masroom, Ketua Pentadbiran UTM Kuala Lumpur dan Puan Nik Masriza Zakaria, Timbalan Ketua Pustakawan, Perpustakaan UTM. Manakala moderator program ialah Puan Sharifah Ezzatul Imma Syed Zainal Abidin, Pustakawan Kanan, Perpustakaan UTMKL.

Pengulas pertama, Tuan Hj. Mohd Najib Masroom telah memilih buku Enhancing Personal Quality yang ditulis oleh Ranjit Singh Malhi dan Robert W. Reasoner. Menurut beliau, pembacaan buku ini dapat membantu individu untuk meningkatkan kualiti peribadi dan prestasi di tempat kerja selain dapat membentuk sifat peribadi yang positif dengan menjaga hubungan baik sesama manusia dan mempunyai reputasi yang cemerlang sebagai majikan. Buku ini turut menerapkan elemen yang penting seperti memberi kepercayaan kepada staf dalam  aspek seperti menyediakan pelaporan, statistik dan sebagainya. Walaubagaimanpun menurutnya pengagihan tugas dengan arahan yang jelas serta membimbing staf dengan baik adalah penting bagi memastikan kerja dijalankan dengan efisyen dan sistematik.

Tuan Hj. Mohd Najib Masroom mengulas buku bertajuk Enhancing Personal Quality.

Panel kedua ialah Puan Nik Masriza Zakaria yang memilih buku MBS: The Rise To Power Of Mohammed Bin Salman, hasil penulisan Ben Hubbard. Menurut beliau, buku ini menceritakan tentang kisah pemerintahan kerajaan Arab Saudi pada masakini iaitu Mohammed bin Salman (MBS) mengenai pembangunan negara. MBS merupakan antara pemimpin negara Islam yang kini menjadi perhatian dunia dan paling berkuasa kerana transformasi terhadap kerajaan Arab Saudi. Di dalam buku ini juga diceritakan tentang beberapa kontroversi yang dihadapi oleh MBS. Antaranya, kisah pembunuhan wartawan Saudi, Jamal Kashogi ketika di Kedutaan Saudi di Turki yang menggegarkan dunia dan melemahkan hubungan Saudi dengan Barat, penahanan para pembesar di Hotel Ritz Calton dan Perdana Menteri Lebanon Saad Hariri dan pemecatan para pembesar negara.

Puan Nik Masriza Zakaria mengulas buku bertajuk MBS: The Rise To Power Of Mohammed Bin Salman.

Mengenepikan kontroversi yang ada, MBS bercadang ingin membina Neom City iaitu sebuah bandar moden di Wilayah Tabuk yang bakal menarik pelancong ke Arab Saudi dengan pelbagai sektor ekonomi sebagai visi 2030 ekoran kejayaan membuat laluan kereta api berkelajuan tinggi bernilai 6.7 bilion yang menghubungkan Mekah dan Madinah. Selain itu, perubahan sosial dapat dilihat kini dimana baginda membubarkan jawatankuasa Kebajikan dan Pencegahan Maksiat yang dahulunya dipercayai berkuasa atau Polis Agama Arab Saudi, MBS membenarkan wanita memandu, pembukaan pawagam, tempat hiburan dan membenarkan kehadiran penonton wanita di Stadium sukan di Jeddah.

Dari segi perubahan geopolitik, MBS mempunyai permusuhan dengan Iran dan negara Syiah yang lain. Dalam pada itu, MBS mempunyai hubungan yang baik dengan Kerajaan US dimana Kerajaan Arab Saudi merupakan pembeli senjata dari US dan pelabur yang banyak menyumbang kepada ekonomi US. Dari segi perubahan ekonomi pula, MBS mengamalkan langkah penjimatan drastik. Kesimpulannya, MBS dilihat mengutamakan peningkatan ekonomi dan sentiasa mencari peluang dalam mewujudkan hubungan antarabangsa.

 

Share this :