Program BookSharing di UTM Kuala Lumpur (UTM KL) Siri 4 telah diadakan pada Khamis, 17 Mac 2022 secara dalam talian melalui Facebook UTM Library Kuala Lumpur. Dua orang pengulas jemputan adalah Puan Zulaika Binti Mohd Isa, Penolong Akauntan,  Fakulti Teknologi dan Informatik Razak (FTIR) UTM Kuala Lumpur (UTM KL) dan Encik Hafizuddin Bin Othman, Penolong Pendaftar, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), UTM KL. Manakala moderator ialah Puan Noor Ayesha Binti Mohd Ezanee, Pustakawan, Perpustakaan UTM KL.

Puan Zulaika Binti Mohd Isa mengulas sebuah buku yang bertajuk ‘Kekok’.

Pengulas pertama, Puan Zulaika Binti Mohd Isa memilih buku bertajuk ‘Kekok’ yang ditulis oleh Akif Basri. Menurut beliau, buku ini merupakan sebuah buku psikologi yang menampilkan tips praktikal untuk kita menangani rasa kekok apabila berinteraksi dengan individu lain juga tips dalam menjadi pendengar yang baik.


Buku ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu komunikasi secara berhadapan dan komunikasi di alam maya. Pada bahagian pertama, penulis berkongsi lima cara supaya berasa selesa untuk mula bercerita, lima cara supaya berasa senang meluah dan lima cara supaya merasakan mudah difahami dan menamatkan perbualan. Bahagian kedua pula, penulis berkongsi tentang tip komunikasi secara maya iaitu sebagai pendengar, perlunya kita memahami cerita si peluah dan bukan memberi penyelesaian atau respons kepadanya. Pendengar boleh menawarkan diri untuk mendengar, mendapatkan kepercayaan, dan bertanya soalan terbuka.  Manakala bagi si peluah mudah meluahkan iaitu kita perlu menghormati perasaan mereka, bertenang semasa situasi janggal, fokus kepada cerita si peluah, fokus kepada mendengar dan hormati ujian yang diterima si peluah. Menurut penyampai, pembacaan buku ini dapat meningkatkan kemahiran kita dalam mendengar, memahami dan memberi respons kepada luahan kenalan atau sesiapa sahaja disekeliling kita.

Encik Hafizuddin Bin Othman mengulas sebuah buku yang bertajuk 20 Tip Usia Muda Berpahala.

Perkongsian diteruskan lagi dengan Encik Hafizuddin Bin Othman yang memilih buku 20 Tip Usia Muda Berpahala, yang ditulis oleh Muhamad Zuhaili. Menurut beliau, buku ini dapat memberi motivasi kepada pembaca untuk membentuk personaliti yang baik sebagai seorang Muslim pada usia muda. Menurut beliau lagi, membentuk personaliti Muslim yang terbaik merupakan langkah asas dalam pembinaan masyarakat yang bertamadun. Ia termasuk soal berpakaian, hiburan, pengurusan masa, penjagaan kesihatan, beribadah, berdakwah, berbakti kepada ibu bapa dan sentiasa berwaspada dengan kebebasan acuan barat.


Buku ini ini membincangkan pelbagai aspek kehidupan golongan orang muda Muslim yang menjadi pewaris kepada agama, masyarakat dan penentu kekuatan negara. Selain itu, buku ini turut menekankan sifat asas yang perlu ada dalam diri setiap Muslim seperti memupuk akidah, ibadah dan akhlak yang sempurna, meluaskan ilmu pengetahuan, menjaga kesihatan tubuh badan, mampu berdikari, melawan nafsu dan menjadi manfaat kepada orang lain.


Sebelum mengakhiri perkongsian, penyampai menyeru semua untuk membaca buku ini agar bersama-sama dalam mengumpul pahala, mengejar redha ALLAH SWT walaupun di usia muda sekaligus menjadikan seharian kehidupan kita sentiasa membahagiakan.

Share this :