Program BookSharing@UTMKL 2022 untuk Siri 5 telah menjemput Puan Sarah Binti Mohd Ali, Setiausaha Pejabat, Fakulti Teknologi & Informatik Razak, UTM Kuala Lumpur (UTM KL) dan Encik Muhammad Saiful Bin Omar, Penolong Jurutera, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi)). Moderator ialah Puan Sharifah Ezzatul Imma, Pustakawan Kanan, Perpustakaan UTM KL. Program yang dijalankan pada 31 Mac 2022 ini telah di adakan secara dalam talian menerusi platform Facebook UTM Library KL.
Panel pertama, Puan Sarah Binti Mohd Ali telah berkongsi buku bertajuk LANA: Living As An Autistic yang ditulis oleh Syahirah Omar & Lana Darwisya. Menurut beliau, buku ini mengisahkan rasa hati seorang ibu yang mengalami depresi dan anxiety serta dalam masa yang sama dianugerahkan dengan seorang anak istimewa iaitu autisme. Buku ini menterjemahkan kekuatan seorang ibu demi anak-anaknya selain perkongsian dan tips yang boleh diguna pakai oleh ibu bapa lain yang turut mempunyai anak autisme.
Lima tanda awal yang perlu diberi perhatian oleh ibubapa untuk mengenali ciri-ciri anak autisme adalah anak tiada atau lemah dalam ‘eye contact‘, tiada tindak balas apabila dipanggil, tidak suka dipeluk dan lebih suka untuk bermain sendirian, tidak peka pada perasaan orang disekitarnya dan mudah terganggu dengan persekitaran bunyi, rasa, rupa ataupun bau. Selain itu, buku ini juga ada berkongsi tips cara menguruskan anak-anak autisme dan turut juga disertakan cara menguruskan mental ibu bapa agar kekal positif dan tidak burn out dalam menguruskan anak-anak.
Panel kedua Encik Muhammad Saiful Bin Omar memilih buku Wang Emas, penulisan Mohd Zulkifli Shafie. Menurut beliau, Buku Wang Emas merupakan sebuah buku terlaris di pasaran yang memberikan penekanan manfaat simpanan emas, kegunaan dan tips memilih emas yang terbaik. Buku ini juga menunjukkan secara praktikal bagaimana simpanan emas mampu membantu meningkatkan kedudukan kewangan setiap orang bermula dengan mendisiplinkan diri menyimpan setiap bulan sehinggalah mencapai tahap kebebasan kewangan.
Tambahnya lagi, kelebihan buku Wang Emas, ia bukan ditulis hanya berdasarkan kajian-kajian ilmiah, tetapi berdasarkan pengalaman-pengalaman praktikal penulis sendiri. Menurut penulis, emas mempunyai keistimewaan tersendiri iaitu kalis inflasi, mudah dicairkan, mampu milik, tidak perlu jaminan, mudah alih dan aset rahsia. Menurut beliau, emas turut dikaitkan sebagai ‘forgotten saving‘,yang boleh dijadikan duit ketika gawat .
Dalam topik memilih emas terbaik penulis memberi penjelasan teliti di dalam buku ini tentang sebab-sebab barang kemas atau emas perhiasan tidak sesuai untuk pelaburan. Antaranya kerana emas harga per gram lebih mahal, kadar perbezaan harga beli dan harga jual sangat tinggi, kos upah yang dimanipulasi dan semakan harga sangat lambat. Seterusnya, penulis berkongsi tips membeli barang kemas yang bernilai tinggi dan memberi keuntungan iaitu memilih ketulenan emas 999 atau 916 sahaja, barang kemas padu, tiada batu permata, menyimpan resit belian, jangan membeli emas putih, dan kos upah paling rendah. Secara keseluruhannya, buku ini dapat memberi panduan berkesan kepada mereka yang sedang berjinak-jinak dalam dunia simpanan emas.