Makmal Satelit UTM-JPNJ Fakulti Alam Bina dan Ukur, UTM dengan kerjasama UTM Kampus Lestari (UTMCS), Kelab Riverdale Kolej Rahman Putra, telah mengadakan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok pada 29 Mac 2022. Program ini telah dianjurkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ) sempena Program Penghijauan Malaysia bertempat di Taman Rekreasi Awam Sireh Park, Iskandar Puteri, Nusajaya, Johor dari jam 3.00 hingga 6.00 petang. Seramai sembilan orang staf Perpustakaan UTM telah menyertai program ini sebagai sukarelawan mewakili Universiti Teknologi Malaysia.
Di antara objektif utama program ini adalah untuk memupuk kesedaran sukarelawan dan orang ramai tentang “menjaga & berkongsi” inventori pokok menggunakan sistem pintar Geotrees (v3) yang telah dibangunkan sejak siri MyTreeVolution 2017. Nombor e-tagging pokok di sekitar landskap Taman Sireh akan menjadi tanda dagangan untuk mencapai inisiatif 100 juta pokok.
Tujuan utama program penanaman pokok adalah untuk menghijaukan kawasan ini yang baru dibuka semula kepada orang awam akibat pandemik Covid-19. Sebanyak 300 pokok yang terdiri daripada pokok duku hutan (Dysoxylum parasiticum), kembang semangkuk (Scaphium affine), meranti tembaga (Shorea leprosula), meranti kepong (Shorea ovalis), machang (Mangifera foetida) dan sentul (Sandoricum koetjape) telah berjaya ditanam.