Pada Khamis, 20 Julai 2022 telah diadakan Program BookSharing@UTMKL 2022 Siri 9. Dua orang pegulas telah dijemput adalah Encik Mohammad Faqri Fildza Bin Deghapor, Penolong Jurutera, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) dan Encik Mohamad Azman Bin Hasmi, Penolong Pegawai Teknologi Maklumat, Pejabat Perkhidmatan Digital UTMKL. Manakala moderator ialah Encik Mohd Azalan Bin Mohd Lazim, Pembantu Pustakawan KUP, Perpustakaan UTMKL.
Pengulas pertama ialah Encik Mohammad Faqri Fildza Bin Deghapor memilih buku bertajuk Pendiam? yang ditulis oleh Aiman Amri & Aqila Masri. Menurut beliau, buku Pendiam merupakan sebuah buku non fiksyen ditulis oleh dua orang penulis yang membawa kita menyelami dunia personaliti ‘Introvert’ dan kebanyakannya lebih kepada penceritaan sebenar tentang kisah hidup penulis. Buku ini lebih dekat dengan pembaca apabila penulisnya juga merupakan golongan Introvert. Selain itu, ianya juga lebih menekankan tentang pemahaman personaliti seorang Introvert dalam kalangan Ekstrovert.
Tambahan beliau lagi, buku ini turut menyenaraikan beberapa jenis Introvert iaitu Social Introvert, Thinking Introvert, Anxious Introvert dan Restrained Introvert dimana setiap jenis introvert ini mempunyai maksud dan persepsi yang berlainan bagi setiap individu yang memilikinya bersesuaian dengan definisi Introvert itu sendiri iaitu individu yang bersifat suka menyendiri dan menumpukan perhatian pada dirinya sendiri, tidak suka bergaul dan kurang bersosial dengan masyarakat atau dunia luar.
Menurut penulis seorang Introvert boleh bertukar kepada Extrovert mengikut keadaan tetapi ia memerlukan masa dan ruang yang lebih lama serta tidak boleh mengikuti kumpulan sosial yang besar. Selain itu, terdapat banyak salah faham yang sering dihadapi oleh golongan Introvert diterangkan berserta contoh kisah yang dihadapi mereka. Dengan itu, penulisan buku ini juga bertujuan untuk menghilangkn stigma masyarakat yang negatif terhadap golongan Introvert. Kesimpulan yang boleh diambil dari pembacaan buku ini, tiga perkara utama yang boleh difahami mengenai golongan Introvert adalah ia merupakan sebuah personaliti untuk kita masyarakat saling menghargai dan melengkapi, cara berinteraksi seseorang dan bukanlah kelemahan diri serta Introvert juga adalah golongan yang mempunyai kekuatan dan kelebihan dalam diam.
Pengulas kedua Encik Mohamad Azman Bin Hasmi yang memilih buku Lagu Pukau ditulis oleh DJ Fuzz. Buku ini terbahagi kepada enam (6) bab yang membina asas pemahaman berkaitan audio marketing secara berperingkat. Buku ini menerangkan dengan lebih jelas cara untuk menguasai pelanggan dengan menggunakan audio marketing contohnya ‘jingle’ dimana ia satu jenis medium berbentuk bunyi yang biasa digunakan di rangkaian TV dan radio untuk tujuan pengiklanan dan memasarkan produk. Menurut penulis, ‘jingle’ penting untuk menaikkan jenama dan seterusnya meningkatkan penjualan produk. Lagi pula, kos ‘jingle’ adalah murah. Walaubagaimanapun, perkara yang tidak benar berkaitan ‘jingle’ adalah ‘jingle’ terlalu mahal di mana ia hanya boleh dihasilkan oleh syarikat antarabangsa dan ada juga stigma mengatakan bahawa sesuatu produk itu perlu dikenali ramai dahulu sebelum dilakukan ‘jingle’.
Menurut pengulas, buku ini turut mengajar cara seseorang ingin melakukan ‘jingle’ untuk jenama sendiri iaitu dengan dua cara. Pertama adalah menggunakan lagu yang sudah sinonim dan popular dengan umum dan yang kedua adalah membuat lagu produk dari mula iaitu dengan memilih sendiri muzik, artis, pengasas produk dan sebagainya. Namun, terdapat kebaikan juga keburukan apabila menggunakan lagu yang sudah popular ini.
Akhir sekali, jelas bahawa buku ini penting untuk pengasas syarikat yang ingin meneroka audio pemasaran dalam usaha mengembangkan jenama dan produk. Manakala untuk pemuzik pula, buku ini memberi pengenalan kepada satu pasaran yang terbuka luas kepada mereka yang ingin mencari sumber pendapatan tambahan mahupun utama.