Mahasiswa baru bagi sesi 2022/2023 telah mula mendaftar masuk pada Julai 2022. Oleh itu, Perpustakaan UTM Kuala Lumpur telah mengambil inisiatif untuk turut serta dalam Minggu Mesra Mahasiswa (3M) yang telah diadakan selama 3 hari bermula 26 hingga 28 Julai 2022. Inisiatif ini dilakukan dengan mengambil kira Perpustakaan sebagai salah satu tempat penting bagi pelajar untuk mendapatkan ilmu juga maklumat. Kira-kira seramai 634 mahasiswa Diploma dan Asasi baharu terlibat untuk sesi Taklimat Perpustakaan ini. Taklimat yang diadakan secara atas talian ini menggunakan platform WEBEX, telah disampaikan oleh Pustakawan Puan Sharifah Radhiah Syed Azman.
Menerusi taklimat ini, mahasiswa telah didedahkan dengan maklumat berkaitan perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan di Perpustakaan UTM dan juga perkhidmatan atas talian. Antara penerangan lain adalah waktu operasi perpustakaan, jumlah pinjaman yang dibolehkan bagi setiap ahli dan perkhidmatan seperti Inter Library Loan (ILL), cara untuk menggunakan portal dalam pencarian bahan dan sebagainya.
Taklimat diakhiri dengan permainan kuiz bagi menguji kefahaman mereka sepanjang taklimat berlangsung dan tiga (3) orang yang paling cepat dan tepat telah dipilih sebagai pemenang. Tahniah! Kepada semua mahasiswa baharu, selamat datang dan syabas kerana menjadi sebahagian dari warga UTM. Semoga terus sukses dan cemerlang.