Program Lestari Talk siri ke 3 anjuran Green Office Perpustakaan UTM bersinergi bersama Sekolah Kejuruteraan Kimia & Kejuruteraan Tenaga telah diadakan pada 27 Julai 2022 dengan tajuk “Water, water everywhere. So why bother to save water?”. Program telah berlangsung secara dalam talian di Facebook dan Youtube Perpustakaan UTM. Professor Ir. Ts. Dr. Sharifah Rafidah Wan Alwi dari Fakulti Kejuruteraan, Sekolah Kejuruteraan Kimia & Kejuruteraan Tenaga, UTM selaku panel jemputan dan Encik Mohammad Fikri bin Yusof, Pustakawan dari Perpustakaan UTM sebagai moderator.

Professor Ir. Ts. Dr. Sharifah Rafidah memulakan sesi dengan memberi persoalan kepada para penonton dengan berkata ‘Water Is Abundant, Why Care?’ Persoalan yang mungkin akan buat kita terfikir mengapa perlu ambil kisah kerana kita penduduk di Malaysia tidak pernah kekurangan air. Beliau meneruskan perkongsian dengan mengupas berkaitan isu semasa yang sedang dialami di peringkat domestik dan global. Menurut beliau, situasi kekurangan sumber air bersih di Malaysia mahupun dunia amat membimbangkan untuk masa akan datang. Terdapat juga negara yang sedang mengalami krisis air menurut sumber World Resources Institute’s Aqueduct Water Risk Atlas yang diklasifikasikan dari rendah hingga yang tertinggi krisisnya.


Selain itu, beliau turut menerangkan berkaitan kesan yang akan kita hadapi jika tiada kesedaran mengenai penjimatan air, seperti contoh kemudahan air boleh di catu, sukar untuk mendapatkan sumber minuman air bersih, tanaman sebagai sumber makanan mati akibat tidak mendapat air secukupnya, produk makanan di pasar raya berkurangan dan lain-lain.

Menurut beliau juga, hasil kajian daripada WEF Global Risk Report, 2014 menyatakan bahawa krisis kekurangan air merupakan antara krisis tertinggi secara global. Perkara yang boleh dilakukan oleh setiap individu bagi membantu permasalahan ini dengan formula berikut:

W – Use water and resources wisely
A – Consider alternative water sources
T – Consider partially/fully treating water
E – Eliminate water where possible
R – Reuse or recycle water

Selain itu, Professor Ir. Ts. Dr. Sharifah Rafidah turut berkongsi beberapa contoh yang boleh kita aplikasikan di rumah untuk mengurangkan pembaziran air. Pengguna boleh membuat semakan penggunaan air di https://www.watercalculator.org/. Penceramah mengakhiri sesi perkongsian dengan menyatakan setiap individu perlu sentiasa melakukan penjimatan air tidak kira dimana kita menggunakannya. Sebagai khalifah di muka bumi ini, kita perlu menjalankan tanggungjawab kita supaya pembaziran tidak berlaku kerana ia akan memberikan kerugian yang besar kepada kita semua.

Share this :