Program Bicara Karya anjuran Jabatan Perpustakaan UTM telah diadakan pada 30 Ogos 2022 (Selasa) pada jam 11.00 pagi hingga 12.00 tengah hari melalui medium Facebook Perpustakaan UTM serta Youtube UTM Library. Panel jemputan terdiri daripada Prof. Dr Durrishah Idrus dan moderator program adalah Dr. Zulkifli Khair.

Program bicara karya kali ini sangat istimewa sempena meraikan sambutan kemerdekaan ke-65 tahun bagi negara kita, Malaysia. Program kali ini dimulakan dengan tajuk Dasar-Dasar yang diwujudkan sejak kemerdekaan Malaysia seperti Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pecah dan Perintah, Dasar Pembangunan Modal Insan serta pelbagai dasar lagi bagi menstrukturkan semula masyarakat, menghapuskan kemiskinan dan memakmurkan semula masyarakat. Pencapaian bagi Dasar-dasar yang ada hampir 50% dapat dilaksanakan kepada golongan sasarannya walaupun terdapat pelbagai cabaran dan rintangan dalam melaksanakannya.

Seterusnya, kupasan program diteruskan dengan tajuk golongan pekerja yang dahulunya dinamakan golongan buruh. Pelbagai akta dan undang-undang yang diwujudkan bagi melindungi serta dalam pada masa yang sama dapat meningkatkan taraf ekonomi bagi setiap golongan pekerja. Senario berbeza dialami oleh golongan pekerja sektor awam dan golongan pekerja sektor swasta dalam cabaran era masa kini. Oleh itu, kedua-dua sektor perlu memainkan peranan dalam memperbanyakkan lagi peluang pekerjaan. Di samping itu, sektor swasta perlu menjadi penggerak ekonomi yang utama bagi memastikan senario ekonomi stabil dan kukuh seperti usaha-usaha menarik pelabur-pelabur asing dan pelbagai lagi usaha untuk meningkatkan ekonomi negara.

Kupasan isu seterusnya bertajuk kebergantungan terhadap pekerja asing dalam menggerakkan sektor pekerjaan di Malaysia. Golongan masyarakat di Malaysia mempunyai mentaliti yang kolot dalam memilih kerjaya. Ini menyebabkan hampir 637 ribu orang yang tidak bekerja di dalam Malaysia merujuk kepada statistik yang dikeluarkan oleh DOSH (Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja). Sektor-sektor utama yang belum diisi dengan pekerja seperti sektor pertanian dan sektor perladangan perlu diisi dengan golongan pekerja tempatan bagi membantu merapatkan jurang ekonomi serta dapat mengekang kebergantungan kepada pekerja asing. Akhir sekali, panel program memberikan nasihat bahawa kita semua adalah pendidik dan kita adalah rakyat Malaysia yang mempunyai jiwa dan sifat jati diri yang murni dalam masyarakat tidak kira kaum, agama dan juga bangsa.

Share this :