Seramai lapan orang sukarelawan dari Perpustakaan UTM telah terlibat di dalam program khidmat masyarakat bersempena dengan Program Semarak Merdeka Kolej Datin Seri Endon 2022: “Venturing Into Kampung Orang Asli Pasir Salam” pada 10 September 2022 (Sabtu) bermula dari jam 8 pagi hingga 6 petang. Lokasi Kampung ini terletak di Sungai Tiram, Johor.

Program ini adalah sinergi Perpustakaan UTM, Kolej Datin Seri Endon, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Persatuan Pustakawan Malaysia Kumpulan Selatan dan Swan Stabilo. Peranan Perpustakaan UTM di dalam program ini adalah untuk bersama-sama dengan masyarakat orang asli Kampung Pasir Salam untuk membangunkan sebuah sudut bacaan ringan di Surau Kampung Orang Asli Pasir Salam. Di samping itu, terdapat pelbagai aktiviti riadah bersama masyarakat orang asli di sini yang sangat menarik dan menghiburkan seperti senamrobik, pertandingan tarik tali, lumba bot dan juga lumba renang.

Selepas sesi perasmian program, sukarelawan perpustakaan membangunkan sudut bacaan tersebut dengan rak bahan bacaan yang telah disediakan oleh jawatankuasa kampung. Sebanyak 300 naskhah bahan bacaan telah dipilih mengikut kesesuaian, bersifat santai dan mesra kanak-kanak.

Pada sesi petang, Perpustakaan UTM juga telah mengadakan sesi Read & Relax yang telah disertai oleh kanak-kanak dari warga Kampung Pasir Salam dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Dua orang panel yang terdiri daripada anak orang asli Kampung Pasir Salam iaitu Chempaka Sari dan Malinda Stevanie telah mengulas buku bertajuk Resipi kejayaan untuk remaja dan Maaf cakap : nasihat segar agar kita sedar. Sepanjang sesi Read & Relax tersebut berlangsung, turut diadakan aktiviti kuiz beserta dengan hadiah yang telah disumbangkan oleh Perpustakaan UTM dan Swan Stabilo.

Share this :