Sesi Read & Relax Siri 5 bagi Bangunan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah diteruskan lagi pada 14 Mac, Khamis jam 2.30 hingga 3.30 petang, di Ruang Terbuka, Aras 1, PRZS. Moderator untuk Sesi Read & Relax pada kali ini ialah Puan Haslinda Binti Sabari manakala Puan Yanti Binti Mohd Shah sebagai pelapor. Sesi ini menampilkan seramai tiga (3) orang pengulas yang terdiri daripada Encik Yusrul Hisham Bin Mohd Yusof, Puan Norhafisah Binti Zakaria dan Encik Noor Amirul Amin Bin Ahmad.
Buku terbitan DuBook Press Sdn. Bhd. ini merupakan terbitan kedua pada 2017 dan mengandungi 192 bilangan muka surat. Hasil nukilan Syahril A. Kadir, buku ini milik pengulas yang diperolehi dari rakan pengulas, seorang pembekal buku. Perkara yang menarik minat pengulas adalah buku ini berdasarkan kisah benar hasil temuramah penulis dengan Prebet Adam. Buku ini merupakan pendedahan tentang cerita sebenar yang terjadi di sebalik amukan berdarah di Jalan Chow Kit 29 tahun dahulu.
Buku hasil karangan Adele Saber dan Elaine Mazlish ini diterbitkan dalam Bahasa Melayu oleh PTS Publishing House keluaran 2017. Buku ini telah diterjemahkan oleh Nora Herni Binti Abd. Rahim dan mempunyai 414 bilangan muka surat. Buku ini mengandungi tujuh (7) bab di mana setiap topik merupakan fokus perbincangan atau cara penyelesaian untuk mendidik anak. Perkara yang menarik minat pengulas adalah kepelbagaian cara yang ada untuk mendidik anak dan cuba untuk menerapkan cara tersebut terhadap keluarga sendiri. Selain itu, buku ini membuatkan ibu bapa lebih memahami kaedah yang betul mendidik dan mendisiplinkan anak seperti membantu anak mengendalikan perasaan mereka, mewujudkan kerjasama, alternatif selain hukuman, galakan berdikari, pujian, bebaskan anak daripada memainkan peranan dan menggabungkan semuanya bersama.
Sebuah novel yang ditulis oleh Ibrahim Anon atau lebih dikenali dengan nama Ujang, mengandungi 186 muka surat. Novel terbitan Creative Enterprise keluaran 1992 ini merupakan buku milik Perpustakaan UTM. Pengulas tertarik untuk membaca novel ini kerana tajuk novel yang unik dan merupakan hasil nukilan penulis yang sangat terkenal. Novel ini mengisahkan seorang kanak-kanak yang unik bernama Jibam, atau nama sebenarnya Ashraf. Namun begitu, Jibam mempunyai kelebihan untuk mengubat penyakit yang diwarisi daripada bapanya, Suman. Novel Jibam adalah berkisar kepada kehidupan Jibam dan masyarakat di sekeliling Jibam. Novel ini membongkar kisah pengkhianatan, kekeluargaan dan kasih sayang dalam masyarakat.