Program Read & Relax Siri 23/2022 anjuran Perpustakaan UTM pada kali ini telah diadakan pada 8 Disember 2022 (Khamis) dengan menampilkan dua orang panel pengulas yang terdiri daripada En. Ahmad Adli Ghazali, Unit Integriti, Jabatan Canselori, Universiti Teknologi Malaysia dan En. Khairull Azmi Ishak, Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia. Manakala Moderator adalah Pn. Saidatul Akmar Mohd Sazali dari Jabatan Pendaftar, Universiti Teknologi Malaysia.
En. Ahmad Adli Ghazali telah memilih sebuah buku berjudul A History of Johore yang merupakan hasil karya R.O. Winstedt dan merupakan antara karya terpenting yang memperincikan tentang sejarah negeri Johor. Bermula dengan namanya yang pelbagai dan unik, Johor didasarkan dari perkataan ‘jawhar’ yang membawa maksud ‘mutiara’. Asimilasi dialek tempatan menjadikan nama ‘Johor’ itu kekal sehingga sekarang. Empayar Johor mula digeruni selepas Melaka turut mempengaruhi pembentukan tiga buah negara moden masakini iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia. Winstedt menelusuri dengan mendalam tentang perkembangan pemerintahan Johor yang bermula dari susur-galur Kesultanan Melayu Melaka. Seterusnya ia dituruti oleh Dinasti Bendahara dan diikuti pula dengan kebangkitan Dinasti Temenggung yang merupakan asal usul Kesultanan Johor di masa kini. Winstedt juga menceritakan tentang keterlibatan Kesultanan Johor dengan Belanda yang berjaya melemahkan kuasa Portugis di Melaka. Menurut panel pengulas, buku ini seharusnya dibaca dengan beberapa pegangan yang perlu ada dalam kalangan pembaca, iaitu sejarah yang ditulis oleh seorang orientalis haruslah dihadam dengan cermat dan perlu dibantu dengan sumber-sumber tempatan yang sahih. Dalam erti kata yang lain, sejarah tidak seharusnya dimuktamadkan dengan pembacaan sebuah buku, bahkan kita perlu merujuk sumber rujukan yang lain dan menilai dari pelbagai sudut pandang pihak yang berkaitan, terutamanya pakar sejarah.
Panel pengulas kedua, En. Khairull Azmi Ishak telah memilih bahan bacaan berjudul How Successful People Think karya John C. Maxwell. Merupakan seorang pakar kepemimpinan dari Amerika Syarikat, Maxwell membawa pembacanya meneroka corak pemikiran orang-orang berjaya yang semestinya memiliki corak berfikir yang berbeza daripada orang kebanyakan. Proses membina satu ‘gambaran besar’ adalah salah satu kaedah kritikal yang diketengahkan beliau di dalam buku ini. Proses ini memerlukan kaedah serta latihan pemikiran yang betul dan ianya adalah sangat penting bagi mengelakkan sudut pandang pemikiran yang sempit sekaligus menghalang seseorang individu untuk berfikiran lebih matang. Terdapat beberapa elemen berfikir yang diterapkan di dalam buku ini iaitu ‘big-picture thinking’, ‘focused thinking’, ‘creative thinking’, ‘shared thinking’, dan ‘reflective thinking’. Elemen berfikir ini dipersembahkan kepada pembaca dengan penyampaian yang amat menarik dan baik. Ia secara tidak langsung dapat membantu pembacanya memecahkan kebuntuan dalam berfikir dan menyelesaikan masalah. Panel pengulas turut berkongsi kepada penonton bagaimana corak pemikiran beliau dalam menghadapi tugasan-tugasan kerjayanya lebih tertib dan teratur setelah membaca buku ini dengan mendalam. Buku ini turut dicadangkan oleh beliau untuk dibaca oleh segenap lapisan masyarakat yang ingin membuat perubahan di dalam diri masing-masing, terutamanya dari segi corak dan gaya pemikiran dalam mendepani pelbagai cabaran dan tugasan mendatang.