Program BookSharing@UTMKL 2023 bagi siri 1 telah diadakan pada 26 Januari 2023 (Khamis). Dua orang panel pengulas telah dijemput iaitu En. Muhammad Tariq Rahmalan, Timbalan Bendahari, Jabatan Bendahari dan Pn. Nik Masriza Zakaria, Timbalan Ketua Pustakawan, Perpustakaan UTM. Manakala moderator ialah Pn. Sharifah Radhiah Syed Azman, Pustakawan Kanan, Perpustakaan UTM.
Pengulas pertama, En. Muhammad Tariq Rahmalan berkongsi buku Dari Andalusia ke Amerika yang ditulis oleh Aidil Adha Sulaiman. Menurut beliau, buku ini membawa pembaca menelusuri sejarah zaman perkembangan dan kegemilangan Islam. Menjejak kilauan Andalus setelah era empayar Rom, Eropah mengalami zaman kegelapan manakala bumi Andalus pula semakin cemerlang, baik dari segi ekonomi, perdagangan bahkan dalam bidang keilmuan.
Dalam pengembaraan umat Islam merentasi Atlantik, ia merupakan misi pelayaran sama ada ia merupakan misi dari tanah Andalusia sendiri atau dari lain-lain benua Islam khususnya Afrika Barat. Ternyata kesan-kesan kehadiran umat Islam di sebelah Amerika telah ditemui oleh para pengkaji hari ini. Mereka dikatakan telah berasimilasi dengan masyarakat tempatan terutamanya kaum Red Indian. Ini boleh dilihat daripada segi corak pemakaian, bahasa, serta gaya hidup mereka. Bahkan turut ditemui beberapa ukiran di batuan serta wang-wang syiling yang memaparkan akan keberadaan Islam di Amerika.
Namun akhirnya, pemerintahan Islam di Andalusia berakhir dengan seribu kedukaan dalam sejarah Islam di Granada. Adalah wajar untuk kita menelusuri sejarah tamadun Islam agar kita dapat mengambil iktibar daripada peristiwa yang telah berlaku dan cuba untuk bangkit semula serta berusaha untuk membina jejak tamadun yang lebih cemerlang.
Pengulas kedua iaitu Pn. Nik Masriza telah memilih bahan bacaan berjudul Non-Conforming. Menurut beliau, buku ini mengajak kita untuk membina atau mencipta impian kita di samping merealisasikan potensi diri dan menjadi manusia yang sentiasa berusaha untuk melakukan yang terbaik dalam apa jua perkara. Memasang matlamat atau visi untuk menjadi seorang jutawan adalah baik. Meskipun wang bukan lah segala-galanya namun dengan wang, kita boleh memberi lebih impak kepada masyarakat untuk memacu kehidupan yang lebih baik.
Menurut beliau lagi, dalam usaha untuk mencapai kejayaan, kita juga akan menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan yang perlu diatasi. Selain itu, kita perlu bergaul dengan kumpulan yang sentiasa berfikiran positif untuk mendapat banyak ilmu pengetahuan dalam merangka tindakan seterusnya untuk mencapai kejayaan.
Pengulas juga menyatakan bahawa dalam usaha untuk mencapai kejayaan, kita perlu mengubah cara pemikiran kita. Kita perlu tahu di mana kelebihan yang kita miliki seperti kekuatan dan minat kerana setiap bahagian dalam kehidupan kita mempunyai keperluan yang berbeza-beza.
Pengulas menyimpulkan bahawa, kita semua belum terlewat untuk mencipta kejayaan. Fahami konsep keberkatan dan janganlah kita sentiasa mengeluh dan menyalahkan orang lain.